Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentang tidak lama lagi

Wee Ka Siong. - Foto Bernama
Wee Ka Siong. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dalam sidang Parlimen tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan terbaharu itu untuk membawa lebih banyak manfaat kepada pemandu atau pemilik kenderaan di samping meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna jalan raya.

Beliau berkata, kali terakhir kerajaan meminda akta berkenaan pada tahun 2020 iaitu menjurus kepada usaha mengekang penggunaan jalan raya yang tidak selamat dengan memandu secara berbahaya, melulu, tidak cermat dan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sama ada menyebabkan kematian, kecederaan dan sebagainya.

“Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“MOT sentiasa berusaha mencari jalan untuk menjadikan undang-undang lebih berpaksikan kepentingan awam dan meletakkan keselamatan sebagai keutamaan tanpa membebankan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Ka Siong berkata, antara pindaan terbaharu adalah membabitkan proses pertukaran pemilikan kenderaan motor secara sementara daripada pemilik asal kenderaan kepada syarikat jual atau beli kenderaan terpakai memandangkan pertukaran hak milik kenderaan adalah bersifat kekal seperti ditetapkan di bawah seksyen 13 Akta 333.

Katanya, pindaan terbaharu itu dibuat untuk melindungi kepentingan pemilik apabila mereka menjual kenderaan mereka kepada UCD dengan memastikan pemindahan pemilikan dilakukan dengan sempurna.

“Ini juga bagi membolehkan UCD memiliki pemilikan kenderaan buat sementara waktu sambil mencari pembeli baharu dan memastikan hak pengguna dilindungi,” katanya.

Selain itu katanya, had umur pemegang Lesen Vokasional untuk penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk kenderaan p-hailing juga akan dipinda kepada tidak kurang daripada 18 tahun daripada 21 tahun ketika ini.

Kata Ka Siong, ia bagi membolehkan lebih ramai mempunyai pilihan untuk memperoleh pendapatan tambahan melalui perniagaan p-hailing dan platform penghantaran barangan lain.

Turut termasuk dalam pindaan terbaharu itu adalah mewajibkan pemandu bas persiaran atau bas pelancongan mempunyai Lesen Vokasional yang sah, bertujuan menyeragamkan keperluan semasa pada masa ini kepada pemandu bas ekpres, bas sekolah dan bas henti-henti.

“MOT sentiasa berusaha menambah baik dasar awam untuk menjadikan jalan raya lebih selamat untuk manfaat pengguna termasuk pejalan kaki dan pemandu.

“Kami akan terus mendengar maklum balas daripada orang ramai dan semua pihak berkepentingan untuk menambah baik dasar ini di masa hadapan,” katanya.