Macau Scam kaut 'untung' RM155 juta dalam tempoh lima bulan

Gambar kecil: Victor
Gambar kecil: Victor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes penipuan Macau Scam merekodkan kerugian tertinggi berbanding kes penipuan lain iaitu melebihi RM155 juta pada tahun ini.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, jumlah itu adalah yang dilaporkan bagi tempoh lima bulan sejak Januari melibatkan 3,604 kes.

Menurut Victor, daripada jumlah kes itu, seramai 1,181 orang ditangkap dan 966 orang telah dituduh di mahkamah.

"Jumlah kerugian akibat kes Macau Scam ini jauh lebih tinggi berbanding kes tipu pelaburan dengan kerugian RM97.9 juta membabitkan 1,493 kes.

"Selain itu, kes 'Love Scam' merekodkan 361 kes dengan kerugian RM17.1 juta manakala jenayah e-dagang pula mencatatkan sebanyak 3,835 kes melibatkan kerugian RM48.2 juta," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Beliau berkata, modus operandi baharu Macau Scam yang dikesan adalah penyamaran panggilan daripada pejabat insurans. Mangsa dikatakan telah membuat tuntutan insurans palsu dan seterusnya disambungkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Kata Victor, mangsa dikatakan terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang atau terlibat dengan individu telah ditangkap bagi sesuatu kesalahan yg serius.

"Pihak yang menyamar sebagai polis meminta mangsa untuk menyerahkan maklumat perbankan secara terperinci atau pindahan ke akaun bank pihak ketiga (mule), untuk siasatan. Mangsa menyedari ditipu setelah mendapati wang dalam akaunnya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga dan tidak dapat lagi untuk menghubungi suspek," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, sebagai langkah pencegahan, orang ramai diingatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dengan berwaspada apabila membuat sebarang pemindahan atau transaksi dalam talian ke akaun individu tidak dikenali.

"Sila semak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559," katanya.