Cubaan sindiket bolos sempadan negara berlaku setiap malam

Mohd Zubil (depan) melihat bot yang diterima pihak maritim Johor ketika Majlis Penyerahan bot RHFB Kelas Perkasa di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru pada Sabtu.
Mohd Zubil (depan) melihat bot yang diterima pihak maritim Johor ketika Majlis Penyerahan bot RHFB Kelas Perkasa di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Cubaan sindiket membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan melakukan penyeludupan kontraban berlaku setiap malam sejak sempadan antarabangsa dibuka pada April lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sindiket biasanya memilih masa antara jam 8 malam hingga 4 pagi untuk membolosi perairan negara.

"Bagaimanapun cubaan sindiket ini kebanyakannya berjaya kita patahkan menerusi operasi bersepadu dengan melakukan kawalan dan rondaan di kawasan sempadan perairan negara. Biasanya bila patah balik, mereka akan cuba lagi dan keadaan ini akan berterusan.

"Ini berlaku kerana terdapat permintaan (pasaran kerja) dalam sektor-sektor seperti perkilangan, pertanian dan perladangan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Perkasa di Berjaya Waterfront Hotel pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan RHFB antara Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Shaiful Lizan Ibrahim dengan Pengerusi Dalac Marine Engineering dan Services Sdn Bhd, Datuk Pahlawan Zakaria Yusof.

Dalam pada itu, Mohd Zubil berkata, pihak maritim berjaya melakukan 442 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan merekodkan RM55.8 juta hasil rampasan mulai awal tahun sehingga 10 Jun lalu.

Jelasnya, jumlah berkenaan adalah hasil daripada 76,026 pemeriksaan yang dijalankan selain 12,764 penggeledahan dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Bot RHFB yang baharu diterima pihak maritism dan akan digunakan dalam operasi bersepadu, kawalan dan rondaan di kawasan sempadan perairan negara.
Bot RHFB yang baharu diterima pihak maritism dan akan digunakan dalam operasi bersepadu, kawalan dan rondaan di kawasan sempadan perairan negara.

Beliau berkata, maritim turut merekodkan 46 kes kesalahan pencerobohan bot nelayan asing membabitkan 405 kru, 80 kes berkaitan Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO), 31 kes membabitkan penyeludupan dadah, ketum dan rokok selain 93 kes penyeludupan pelbagai termasuk PATI.

Menurutnya, dalam usaha memperkasa penguatkuasaan di perairan negara, maritim menerima 30 bot RHFB Kelas Perkasa bernilai RM46.5 juta bagi menggantikan bot sedia ada yang menjangkau usia 17 tahun.

"Bot pemintas yang sedia ada akan dilupuskan secara berperingkat dan digantikan dengan bot baharu yang berukuran 12 meter panjang dengan 3 enjin berkapasiti 350 kuasa kuda setiap satu dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 48 knot.

"Bayangkan bot yang menceroboh perairan atau melakukan kegiatan haram memiliki sehingga lima enjin, ia menimbulkan kesulitan bagi anggota maritim untuk mengambil tindakan dengan pantas atau memintas sebelum ini," katanya.

Selain itu katanya, maritim dijangka menerima aset baharu termasuk empat unit helikopter dan sebuah kapal 'multi purpose mission ship' (MPMS) dalam tempoh beberapa tahun lagi.