Negara boleh lumpuh, rosak akibat rasuah

Mohd Noor (dua kiri) menerima cenderahati daripada Nurhayati semasa menerima kunjungan Rasuah Busters di Pejabat JHEAIK, Alor Setar.
Mohd Noor (dua kiri) menerima cenderahati daripada Nurhayati semasa menerima kunjungan Rasuah Busters di Pejabat JHEAIK, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) akan menggunakan pelbagai saluran yang dimilikinya untuk membantu menjayakan kempen Rasuah Busters di negeri Kedah.

Timbalan pengarah Pengurusan, Perkhidmatan dan Kewangan JHEAIK, Mohd Noor Ismail berkata, antara saluran dan kaedah yang boleh digunakan adalah menyalurkan maklumat menerusi masjid, sekolah agama di bawah pentadbirannya dan juga pejabat agama daerah.

Menurutnya, kempen antirasuah juga boleh disampaikan kepada peserta yang menyertai pelbagai kursus anjuran pejabat agama antaranya kursus kahwin.

"Bagi saya, kempen Rasuah Busters ini adalah sangat baik dan kena pada masanya. kempen ini kalau kita tengok menggerakkan pelbagai institusi serta kelompok masyarakat untuk bersama-sama ke arah memandang rasuah sebagai amat tidak dielok dan memberikan impak negatif kepada masyarakat di masa hadapan.

"Rasuah juga boleh menyebabkan sesebuah negara lumpuh dan rosak sekiranya berterusan sekiranya tiada apa-apa tindakan dilaksanakan," katanya kepada Sinar Harian.

Nurhayati memberi penerangan kepada Mohd Noor tentang usaha yang digerakkan oleh Rasuah Busters.
Nurhayati memberi penerangan kepada Mohd Noor tentang usaha yang digerakkan oleh Rasuah Busters.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan mesra Rasuah Busters yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin di institut tersebut, dekat sini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata, dari sudut agama Islam juga rasuah dipandang sebagai jenayah yang berat dan hina.

Menurutnya, masyarakat mungkin juga menganggap perkara ini sebagai remeh sehingga lupa kepada kesan negatifnya untuk jangka masa panjang.

"Bagi sesetengah orang pula, mereka pula melihat rasuah ini sebagai peluang untuk mendapatkan kekayaan dan sebagainya.

"Perkara ini menjadi ke arah budaya materialistik yang mana mesti dapat (imbuhan) dalam apa jua cara sekalipun. Jadi kita perlu bentuk masyarakat lebih kepada budaya murni, nilai murni yang tidak memandang budaya ini," ujarnya.