Hina Nabi: 11 lagi laporan polis dibuat gesa pelaku dihukum

11 wakil parti politik dan NGO membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, di Kemaman pada malam Khamis.
11 wakil parti politik dan NGO membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, di Kemaman pada malam Khamis.
A
A
A

KEMAMAN - 11 laporan polis dibuat bagi menggesa tindakan dan hukuman maksimum diambil susulan rakaman video memaparkan sekumpulan warga asing menyokong tindakan ahli politik di India yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW.

Laporan itu dibuat oleh wakil Pemuda UMNO Kemaman; wakil Pemuda Pas Kawasan Kemaman, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kemaman, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Kemaman serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Polis Chukai, di sini jam 10 malam, pada Khamis.

Ketua Armada Kemaman, Aziman Hadi Nazri berkata, mereka menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan tindakan dan hukuman tegas terhadap pelaku yang telah menggores hati seluruh umat Islam.

"Kami wakil pemuda daripada parti politik dan NGO di Kemaman bersatu hati menggesa tindakan tegas diambil terhadap pelaku.

"Apa yang dilakukan itu tidak boleh dipandang remeh dan perlu dikenakan tindakan tegas kerana isu itu telah menggugat ketenteraman dan keharmonian kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, wakil NGO, Mohd Isa Ismail berkata, pertubuhan politik dan NGO di Kemaman sebulat suara bangkit menentang warga asing yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Jelasnya, seluruh pemuda dari pelbagai latar belakang politik di Kemaman mengetepikan perbezaan politik demi mempertahankan agama Islam daripada dihina.

"Sebagai rakyat Malaysia beragama Islam, kita tidak boleh biarkan warga asing malah rakyat Malaysia sekali pun menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam.

"Kami harap pihak polis dan SKMM mengambil tindakan tegas semaksimum mungkin terhadap mereka yang cuba mengganggu gugat kerharmonian negara Malaysia,"ujarnya.

Sebelum ini, tindakan biadab jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) di India, Nupur Sharmah serta Naveen Jindal yang menghina Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aisyah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia.