Warisan sasar empat kerusi Parlimen, 20 DUN di Negeri Sembilan

Azman (empat dari kanan) bersama barisan ahli jawatankuasa parti Warisan Negeri Sembilan.
Azman (empat dari kanan) bersama barisan ahli jawatankuasa parti Warisan Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Warisan Negeri Sembilan menyasarkan sekurang-kurangnya bertanding empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Azman Idriz berkata, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Buat masa sekarang kita sedang mengenal pasti mana-mana kerusi Parlimen dan DUN yang sesuai untuk ditandingi.

"Kerusi mana yang jadi sasaran sudah ada, tapi ia masih dalam kajian dan pemantauan," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Menurutnya, buat masa ini Warisan Negeri Sembilan mempunyai keahlian kira-kira 2,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan usia di 25 cawangan yang telah ditubuhkan.

Jelasnya, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk menarik minat masyarakat menyertai Warisan terutama memperbanyakkan aktiviti untuk menarik minat golongan muda.

"Dari pasangan mata rakyat, Warisan ini parti dari Sabah tetapi sebenarnya Warisan ini ditubuhkan di semenanjung dan dibawa ke Sabah untuk bertanding.

"Sebab itu Presiden kita kini bawa parti ini ke semenanjung dan nampaknya sambutan sangat menggalakkan," katanya.

Beliau yang sebelum ini sebagai pemerhati politik berkata, Warisan tidak bermusuh dengan parti-parti lain dan jika ada berminat untuk bekerjasama, ia akan dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi parti.

"Kita yakin parti Warisan di Negeri Sembilan boleh pergi jauh dan kehadirannya boleh memberi pilihan kepada rakyat.

"Kita parti berbilang kaum. Bagi saya rakyat kini banyak pilihan dan Warisan salah satu daripadanya.

"Kita juga mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat bekerjasama," katanya.