Speedy Tigers layak dapat imbuhan

Arul berjaya mengemudi skuad negara layak ke pentas Piala Dunia tahun depan. - Foto FB MHC (Gambar kecil: Zakaria)
Arul berjaya mengemudi skuad negara layak ke pentas Piala Dunia tahun depan. - Foto FB MHC (Gambar kecil: Zakaria)
A
A
A

JIKA skuad kebangsaan Harimau Malaya menerima ganjaran atas kejayaan mara ke Piala Asia 2023, pasukan hoki senior lelaki negara The Speedy Tigers juga layak mendapat imbuhan selepas mara ke Piala Dunia 2023.

Pendapat itu disuarakan pemerhati sukan negara, Zakaria Ab Rahim yang menganggap kejayaan skuad hoki kendalian Arul Selvaraj menyambar tiket Piala Dunia tahun depan tidak seharusnya dipandang ringan oleh pihak kerajaan.

“Seperti mana kejayaan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, saya pasti rakyat Malaysia juga berbangga dengan kejayaan skuad hoki negara mara ke Piala Dunia 2023.

“Cuma, mengapa hanya skuad Harimau Malaya yang dipertimbangkan untuk menerima imbuhan? Sewajarnya imbuhan juga diberikan kepada skuad hoki negara atas kejayaan mereka.

“Pasukan hoki negara masuk final Piala Asia, jadi naib juara Asia, layak ke Piala Dunia 2023 dan berada pada ranking ke-10 dunia tetapi mana imbuhan kepada mereka? Malah, tidak ada pemimpin negara atau wakil daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hadir pada final berkenaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pihak kerajaan sedia mempertimbangkan ganjaran kepada Harimau Malaya atas kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Pada Khamis, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam menentukan bentuk pemberian imbuhan kepada Speedy Tigers.

“Skuad hoki negara sememangnya wajar menerima imbuhan daripada pihak kerajaan kerana mereka perlu melakukan persediaan rapi bagi mengharungi saingan Piala Dunia tahun depan.

“Antara persediaannya adalah dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang beberapa pasukan handalan dunia atau pasukan dari luar negara bagi menguji kemampuan Malaysia.

“Jadi saya harap semua pihak perlu serius dalam isu melibatkan imbuhan ini kerana ia dikhuatiri boleh mempengaruhi semangat atau persediaan atlet atau pemain negara untuk beraksi kelak,” ujarnya.

Pada masa sama, Zakaria mengharapkan KBS dapat melihat semula keutamaan dalam memberikan imbuhan khususnya bagi prospek jangka masa panjang.

“KBS perlu kaji semula keutamaan untuk memberikan imbuhan. Jika mahu beri imbuhan, bukan kepada pemain tetapi kepada pasukan. Beri imbuhan kepada pasukan Bawah 17 tahun (B-17), rata-ratanya pelajar sekolah yang sedang bersiap untuk layak ke Piala Dunia B-17.

“Mereka adalah prospek ke Piala Dunia 2030, itu pun kalau serius nak ke Piala Dunia,” jelasnya yang pernah memegang tugas selaku pengurus skuad bola sepak Selangor.