Ain Husniza peroleh 7A SPM walau ramai doakan gagal

Tangkap layar Twitter Ain Husniza pada Khamis.
Tangkap layar Twitter Ain Husniza pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kecaman netizen terhadap Ain Husniza Saiful Nizam, 18, yang memperjuangkan isu #MakeSchoolASaferPlace ternyata tidak menghalang dia memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis.

Menerusi perkongsian di Twitter miliknya, Ain Husniza berkata, walaupun tertekan dengan pelbagai kecaman netizen, dia berjaya membuktikan kejayaannya dengan memperoleh 7A 1B dalam peperiksaan tersebut.

Katanya, sebelum ini ada segelintir netizen berpandangan pengajian tidak berkat susulan tindakannya yang mendakwa seorang guru bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

“Saya tak boleh beritahu macam mana tertekannya saya sewaktu SPM. Bukan sahaja mereka beritahu saya tidak berkat dalam pelajaran, malah turut mendoakan saya gagal dalam peperiksaan.

“Mereka menyindir tubuh badan saya dan menjatuhkan saya di setiap sudut yang mereka boleh,” ciapnya pada Khamis.

Dalam pada itu, Ain Husniza turut berkongsikan tangkap layar salah seorang netizen yang mengecamnya sebelum ini.

Katanya, komen tersebut merupakan satu daripada ratusan netizen yang mendoakan kegagalannya.

“Bila membaca mesej itu, saya berjanji kepada diri sendiri bahawa saya akan membuktikan mereka salah.

“Ain tak pandai, Ain tak pernah dapat keputusan seperti ini. Tetapi Ain percaya ini semua berkat semua guru yang mengajar saya dan rakan-rakan ditemui sepanjang pembelajarannya,” katanya.

Sehubungan itu, Ain Husniza berkata, perjuangannya sebelum ini adalah untuk diri sendiri dan juga semua pelajar.

“Tidak kira apa keputusan yang anda dapat, semua berhak mendapat keselamatan di sekolah. #MakeSchoolASaferPlace,” ujarnya

Pada 24 April tahun lalu, media melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.

Ain Husniza mendakwa, pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan terbabit.

Bagaimanapun, pelajar itu mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.

Malah kes itu tular di media sosial sehingga menjadi bualan ramai.

Pelajar terbabit turut berdepan tindakan saman RM1 juta selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.