Mohon pertimbang imbuhan kepada skuad hoki kebangsaan: Anwar

Ciapan Twitter Anwar pada Khamis.
Ciapan Twitter Anwar pada Khamis.
A
A
A

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar kerajaan turut mempertimbangkan untuk memberi imbuhan kepada skuad hoki negara yang berjaya menjadi Naib Juara Piala Asia 2022 baru-baru ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) membuat kenyataan itu sebagai respons kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan akan mempertimbangkan imbuhan kepada pasukan Harimau Malaya selepas berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023.

“Mohon pertimbang juga imbuhan kepada skuad hoki kebangsaan yang baru-baru ini menjadi Naib Juara Piala Asia 2022 dan juga layak ke Piala Dunia 2023,” ciapnya di Twitter pada Khamis.

Pada Rabu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbang pemberian imbuhan dan penganjuran sambutan keraian sempena kejayaan skuad Harimau Malaya mengesahkan slot ke Piala Asia 2023.

Beliau berkata perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.

Pada Selasa, skuad bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-Gon, menumbangkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia ialah pada edisi 1980 di Kuwait dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia pada 2007 namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.