Kes Bella: Rakan nafi wujud konspirasi jatuhkan Siti Bainun

Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri sambung bicara pertuduhan yang dihadapinya melibatkan pengabaian seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun. - Foto Bernama
Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri sambung bicara pertuduhan yang dihadapinya melibatkan pengabaian seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Rakan Pengasas Rumah Bonda menafikan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa, wujud konspirasi untuk menjatuhkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana sifat cemburu.

Saksi kelapan pendakwaan yang juga Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam berkata demikian ketika prosiding kes menganiaya Bella membabitkan Siti Bainun, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Ketika ditanya oleh peguam, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor yang mewakil Siti Bainun, sama ada saksi berusia 40 tahun itu bersama empat rakannya yang dikenali Hani Azura, Syira, Haiza dan Zurianty Sudin, 39, (saksi pendakwaan pertama) berkomplot, Suhana berkata tidak setuju.

Nur A'minahtul Mardiah: Pertama, semua cerita dengan tarikh yang saya tunjukkan, banding dengan perbualan yang Cik Suhana akui tadi, berlaku bercanggah, setuju?

Suhana: Tidak setuju.

Nur A'minahtul Mardiah: Apabila bercanggah bermakna kejadian-kejadian yang diceritakan di mahkamah ini, tidak pernah berlaku setuju?

Suhana: Saya tidak setuju.

Nur A'minahtul Mardiah: Faktanya, Cik Suhana, Hani Azura, Syira, Haiza dan Zurianty, pada bila-bila masa, ketika Siti Bainun tiada (di rumah), boleh ambil gambar atau rekod video Bella, tapi tidak dilakukan, setuju?

Suhana: Setuju.

Nur A'minahtul Mardiah: Saya cadangkan, konspirasi itu bertambah kuat selepas Cik Suhana sendiri baca berita mengenai kes ini, tular di media sosial.

Suhana: Tidak setuju.

Saksi itu juga menjawab tidak setuju dengan cadangan peguam itu, bahawa dia dan tertuduh masih berkomunikasi dengan baik sehinggalah pada 11 Julai 2021.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun.

Prosiding bersambung petang ini.