300 calon SPM peroleh semua A di Pahang

Rosli (tengah) menyerahkan slip keputusan SPM kepada pelajar terbaik calon SPM dari SMK Abdul Rahman Talib, Nur Arisha Amyrul Naim,18, sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 Negeri Pahang, Kuantan pada Khamis.
Rosli (tengah) menyerahkan slip keputusan SPM kepada pelajar terbaik calon SPM dari SMK Abdul Rahman Talib, Nur Arisha Amyrul Naim,18, sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 Negeri Pahang, Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 300 daripada 17,008 atau 1.76 peratus calon yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih di sini,Tham Kai Wen menjadi calon tunggal memperoleh kesemua gred A+ di negeri ini.

Menurutnya, pencapaian keseluruhan prestasi Gred Purata Neger (GPN) negeri ini, 4.74 pada SPM 2021.

"Sebanyak 10 buah sekolah tersenarai sebagai sekolah terbaik di negeri ini termasuk tiga sekolah harian.

"Sekolah yang tersenarai ialah Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Kuantan (Kuantan), Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah (Raub), SBPI Temerloh (Temerloh), Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Bentong (Bentong), SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Kuantan), SBPI Tun Abdul Razak (Pekan) dan Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah (Pekan).

"Sementara itu, tiga sekolah harian, SMK Abdul Rahman Talib (Kuantan), SMK Seri Bera (Bera) dan SMK Jengka Pusat (Maran) turut tersenarai sebagai 10 sekolah terbaik di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 Negeri Pahang di SMK Abdul Rahman Talib (Smart) di sini pada Khamis.

Rosli berkata, daripada 106 Calon Berkeperluan Khas (CBK), lima calon memperoleh sekurang-kurang 5A dalam SPM 2021 melibatkan dua calon kurang upaya penglihatan dan tiga calon masalah pembelajaran.

"Sementara itu, prestasi calon dalam kalangan pelajar Orang Asli, seramai 24 orang daripada 616 calon memperoleh keputusan sekurang-kurang 5A.

"Seorang calon dalam kalangan kaum itu memperoleh 11A, 9A (seorang), 8A (seorang), 7A (empat), 6A (empat) dan 5A (13)," katanya.