15,520 calon layak terima sijil SPM di Pulau Pinang

Wan Sajiri (dua dari kanan) menyampaikan sijil keputusan SPM 2021 kepada salah seorang pelajar cemerlang.
Wan Sajiri (dua dari kanan) menyampaikan sijil keputusan SPM 2021 kepada salah seorang pelajar cemerlang.
A
A
A

GEORGETOWN- Seramai 15,520 atau 86.03 peratus daripada 20,048 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2021 layak menerima sijil peperiksaan tersebut.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, Pulau Pinang mencatatkan 4.77 bagi Gred Purata Negeri (GPN) untuk SPM 2021.

Menurutnya, seramai 5,106 calon iaitu 29.15 peratus yang menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu mencatatkan keputusan cemerlang, manakala 16,573 (94.63 peratus) lulus subjek tersebut.

"Bagi matapelajaran Sejarah, seramai 4,633 (25.88 peratus) mencatatkan keputusan cemerlang dengan 15,735 calon (87.89 peratus) calon lulus subjek berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Sajiri berkata, 22 sekolah mencapai prestasi 100 peratus iaitu semua calon layak mendapat sijil bagi tahun ini.

"Antara sekolah tersebut adalah SMK Bukit Jambul, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Al-Mashoor, SMKA (L) Al-Mashoor, Penang Free School, SMKA Al-Irshad, SMK Jit Sin dan SMK Tinggi Bukit Mertajam.

"Sementara itu, seramai 17 calon di Pulau Pinang memperoleh keputusan cemerlang yang membabitkan keputusan 11A+, 10A+ dan 9A+. Selain itu, terdapat 12 buah sekolah calon cemerlang yang mencatatkan semua A+ dengan gred purata (GP) 0.00," katanya.

Beliau berkata, SMK Bukit Jambul berjaya memperolehi gred purata sekolah (GPS) terbaik dengan 1.83 terbaik bagi peringkat Pulau Pinang.

Katanya, lima calon keperluan khas berjaya memperolehi keputusan cemerlang dengan pencapaian antara 4A+ hingga 1A+.