Tiga intervensi tambahan rancakkan pengeluaran makanan

Tiga lagi intervensi tambahan dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu bekalan makanan sekali gus merancakkan aktiviti pengeluaran makanan domestik. - Gambar hiasan .(Gambar dalam :Ronald)
Tiga lagi intervensi tambahan dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu bekalan makanan sekali gus merancakkan aktiviti pengeluaran makanan domestik. - Gambar hiasan .(Gambar dalam :Ronald)
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga lagi intervensi tambahan dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu bekalan makanan sekali gus merancakkan aktiviti pengeluaran makanan domestik.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuklah pelaksanaan Program Kebuniti Keluarga Malaysia.

"Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk program tersebut tahun ini dan ia dapat dimanfaatkan hampir 1,350 penerima terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk komuniti, usahawan dan koperasi yang terlibat dalam rantaian pengeluaran pertanian komuniti," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kabinet juga bersetuju mewujudkan Program Stokpail Ikan Segar Beku Q-Fish sebagai persediaan untuk menampung bekalan semasa musim tengkujuh dan monsun.

"Ia melibatkan penyediaan kuantiti stokpail sebanyak 1,000 tan metrik dengan peruntukan RM7 juta," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 135 pasar nelayan dan 103 outlet Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedia ada dimanfaatkan sebagai saluran pasaran serta ejen baharu.

"Fasiliti penyimpanan juga bakal diwujudkan di 222 kawasan Parlimen yang melibatkan peruntukan RM2.7 juta," katanya.

Ronald berkata, rumah penyembelihan dan loji pemprosesan di luar negara akan ditambah bagi meningkatkan dan mempelbagai sumber import bekalan ayam serta daging.

"Bagi bekalan ayam, pertambahan loji pemprosesan melibatkan 51 buah loji dengan 33 loji adalah dari enam negara sumber sedia ada manakala 18 loji baharu dicadangkan dari lapan negara," katanya.

Ujarnya, bagi bekalan daging, kerbau dan kambing, terdapat 12 rumah penyembelihan ruminan tambahan baharu diwujudkan di sembilan negara menjadikan jumlahnya 94 buah.

Menurutnya, mesyuarat kabinet pada Rabu mengambil maklum status bekalan makanan negara yang dibentangkan oleh MAFI bagi lapan komoditi makanan utama iaitu daging ayam, daging lembu, kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.

"Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi dan bekalan ayam juga beransur pulih pada minggu pertama dan kedua bulan Jun 2022," katanya.

Tambah Ronald, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga terus bersidang secara mingguan untuk terus memperhalusi langkah-langkah dan intervensi bagi menangani isu bekalan makanan negara selain memantau status bekalan serta pelaksanaan tindakan susulan kesemua inisiatif.

"Kerajaan memantau status sekuriti makanan negara secara berterusan dalam memastikan kebolehcapaian makanan yang cukup, selamat, berkhasiat dengan harga berpatutan secara berterusan oleh rakyat.

Kerajaan juga prihatin tehadap pengeluar makanan yang memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan makanan kekal terjamin untuk Keluarga Malaysia," katanya.