Banjir kilat di Negeri Sembilan akibat kecuaian pemaju perumahan

Aminuddin - Foto Bernama
Aminuddin - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Banjir kilat yang berlaku di sekitar Seremban baru-baru ini berpunca daripada kecuaian beberapa pemaju perumahan yang tidak menyediakan kolam takungan air ketika memajukan kawasan berkenaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, susulan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan sewajarnya kepada pemaju terlibat.

"Banjir kilat yang berlaku pada tiga hari lepas berpunca daripada pemaju perumahan yang membuat kerja tanah. Mereka tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya digunakan seperti menyediakan kolam takungan air yang merupakan perkara wajib,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata, ibadah korban sempena Aidiladha di negeri ini mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan aktiviti itu boleh diadakan di masjid, surau, rumah atau tanah lapang yang bersesuaian.

Beliau berkata, individu atau penganjur perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS di http://equrbans.jheains.my bagi memudahkan Jabatan Veterinar mengeluarkan permit sementara bagi aktiviti penyembelihan.

Aminuddin berkata, pendaftaran itu juga bertujuan mengetahui bilangan lembu atau kambing yang disembelih pada tahun ini kerana ia memberi impak besar dari segi pengeluaran ternakan di negeri ini. - Bernama