Dua lelaki ditahan bersama 3,866 kotak rokok seludup

Rokok tidak bercukai yang dirampas daripada dua lelaki berkenaan di Jalan Burma, pada Selasa.
Rokok tidak bercukai yang dirampas daripada dua lelaki berkenaan di Jalan Burma, pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan bersama 3,866 kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan kira-kira jam 4 petang selepas polis menyerbu sebuah premis kedai di Jalan Burma di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis itu dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis rokok tidak bercukai.

"Dua lelaki yang ditahan merupakan pemilik premis berkenaan berusia 44 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 26 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis berkenaan.

"Pemeriksaan dibuat di premis terbabit menemukan 3,866 kotak rokok disyaki tidak bercukai dengan nilai rampasan berjumlah RM58,000," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Soffian berkata, semakan dibuat mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan bebas daripada pengaruh dadah.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.