Kemenangan ‘ajaib’ di Molineux

Kejayaan membenam England 4-0 di Molineux pada Rabu dilihat sebagai satu kemenangan ‘ajaib’ yang dilakar Hungary pada aksi Liga Negara-Negara UEFA kali ini. - Foto EPA
Kejayaan membenam England 4-0 di Molineux pada Rabu dilihat sebagai satu kemenangan ‘ajaib’ yang dilakar Hungary pada aksi Liga Negara-Negara UEFA kali ini. - Foto EPA
A
A
A

KEJAYAAN membenam England 4-0 di Molineux pada Rabu dilihat sebagai satu kemenangan ‘ajaib’ yang dilakar Hungary pada aksi Liga Negara-Negara UEFA kali ini.

Bagaimanapun, pengendali Hungary, Marco Rossi mengingatkan pemain agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan berkenaan sebaliknya menjadi penguat semangat bagi mengharungi perlawanan akan datang.

“Saya pasti England merupakan antara pasukan pilihan dan terbaik di dunia ketika ini.

“Bagi saya kemenangan malam ini (Rabu) merupakan satu ‘keajaiban’ dan apabila ia berlaku dalam bola sepak, tidak mustahil untuk berulang lagi.

“Biarpun gembira dengan kemenangan ini kami masih perlu berpijak di bumi nyata,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Roland Sallai menjaringkan dua gol buat Hungary pada minit ke-16 dan min-70, Zsolt Nagy (min-80), sebelum pemain gantian Daniel Gazdag menjaringkan gol keempat pada minit ke-89 bagi mengesahkan kemenangan bergaya Hungary.

Kemenangan berkenaan sekali gus mengulangi kemenangan 6-3 Hungary ke atas England sebagaimana yang dilakukan pada tahun 1953 dan bagi aksi Liga Negara-Negara UEFA,Hungary turut mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas England di Budapest, awal bulan ini.

Tambah malang, England terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada perlawanan berkenaan setelah John Stones dibuang padang akibat mengutip kad kuning kedua pada minit ke-82.

Sementara itu, Rossi berkata, kemenangan itu juga membawa erti tersendiri buatnya kerana ketika mula-mula menandatangani kontrak, dia ada mengatakan kepada Presiden dan Perdana Menteri bahawa dia mahu meninggalkan ‘sesuatu’ dalam bola sepak Hungary.

“Saya sudah pun melakukannya dengan kemenangan kali ini. Saya juga pasti apabila sudah ‘tiada’ lagi nanti, seluruh stadium di Hungary akan bertafakur selama seminit bagi mengingati saya.

“Ia akan menjadi pencapaian terhebat buat saya dalam bola sepak Hungary,” katanya.