Penoreh getah didenda RM3,400 miliki dadah ketamin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

REMBAU - Mahkamah Majistret Rembau menjatuhkan hukuman denda RM3,400 terhadap seorang penoreh getah atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin pada Mac lepas.

Majistret, Kartini Kasran menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Muhammad Nur Amirul Mohd Sharif, 25 selepas dia membuat pengakuan bersalah pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dalam milikannya dadah jenis ketamin dengan isi padu bersih 287 mililiter (ml).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Felda Jelai, Gemas Tampin pada jam lebih kurang jam 2.30 pagi 16 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S.Kavittha yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mengenakan denda paling minimum berikutan pendapatan tertuduh yang bekerja sebagai penoreh getah tidak menentu dan perbuatan tersebut merupakan kesalahan pertamanya selain menanggung ibunya yang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh dengan mengambil kira kuantiti dan berat bersih dadah dalam botol-botol yang dirampas.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan di sebuah rumah terdapat empat lelaki dan hasil pemeriksaan menemui 30 botol kecil berwarna hitam mengandungi cecair disyaki dadah (300ml), 50 botol kecil dan dua botol besar lutsinar masing-masing mengandungi cecair disyaki dadah dengan isi padu 500ml dan 1600ml.

Turut ditemui satu botol besar berwarna putih mengandungi cecair disyaki dadah dengan isi padu 800ml.

Barang kes berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka dan hasil analisa mendapati ia mengandungi 210ml dan 77ml dadah jenis ketamin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,400 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran boleh dipenjarakan selama 11 bulan.