Pegawai polis maut digilis lori

Seorang pegawai polis maut dalam kemalangan di Kilometer 11, Lebuhraya Grandsaga arah ke Kuala Lumpur pada Selasa.
Seorang pegawai polis maut dalam kemalangan di Kilometer 11, Lebuhraya Grandsaga arah ke Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Pegawai polis maut selepas digilis sebuah lori di Kilometer 11, Lebuhraya Grandsaga arah Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, Inspektor Mohd Farhan Zahari, 28, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, siasatan awal mendapati semasa kemalangan, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Gombak selepas mengikuti kursus di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala pemandu lori dari Hulu Langat menghala ke Jalan Kuchai Lama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memintas lori yang ketika itu berada di bahu kiri jalan, namun keadaan jalan berpasir menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan tayar lori sebelum digilis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke bahagian Forensik Hospital Serdang dan bedah siasat akan dijalankan pada Rabu.

“Kenderaan terlibat ditahan di Balai Trafik IPD Kajang untuk pemeriksaan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.