Pemohonan Geran Kandungan Digital sudah dibuka: Annuar

Annuar Musa. - Foto Bernama
Annuar Musa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka permohonan Geran Kandungan Digital 2022 yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 bermula Selasa.

Dalam kenyataan pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, geran tersebut ditawarkan kepada syarikat, perusahaan dan syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) untuk membangunkan kandungan baharu atau sedia ada di pasaran dalam bentuk animasi, komik digital, media interaktif dan permainan digital.

"Pemohon terpilih akan dijemput ke sesi pembentangan yang dijadualkan pada Ogos depan sebelum kelulusan diumumkan menjelang September," katanya.

Menurutnya, selepas mendapat kelulusan, penerima geran akan diberi tempoh selama enam bulan bagi menyiapkan kandungan digital.

"Ia merangkumi sama ada filem animasi pendek, episod pilot, treler pendek, kandungan untuk pengumuman pesanan khidmat awam (PKA), permainan digital/ media interaktif lengkap (demo atau prototaip) atau komik digital dan komik bergerak lengkap," katanya.

Beliau berkata, geran tersebut merupakan sebahagian daripada siri inisiatif pembiayaan

yang direka untuk industri kandungan kreatif pada tahun ini.

"Industri kandungan kreatif digital merupakan antara industri yang pantas berkembang dan salah satu industri tumpuan di bawah Malaysia Digital," katanya.

Annuar berkata, MDEC komited memastikan industri kreatif menerima sokongan diperlukan untuk kekal berdaya maju, mampan dan kompetitif.

"Pendaftaran untuk Geran Kandungan Digital 2022 dibuka sehingga 29 Julai 2022 dan mereka yang berminat boleh melayari https://mdec.my/dcgprisma2022 untuk maklumat lanjut," katanya.

Sejak tahun 2016, MDEC meluluskan 94 projek bernilai RM36.4 juta kepada syarikatkandungan kreatif digital bagi membiayai idea mereka di peringkat pembangunan dan memastikan ia mesra pelabur.

Tahun lalu, menerusi Geran Kandungan Digital 2021, MDEC menerima 111 permohonan dan sejumlah RM1.9 juta geran diluluskan yang memberi manfaat kepada 39 pemohon.