[VIDEO] Kenapa saya pula dipersalahkan? - Syed Saddiq

Keadaan padang yang ditenggelami air ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Syed Saddiq
Keadaan padang yang ditenggelami air ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memberi penjelasan selepas menjadi serangan netizen apabila Stadium Nasional Bukit Jalil ditakungi air pada perlawanan aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu lalu.

Menurut Syed Saddiq, ia susulan pengumuman RM10 juta yang dibuatnya untuk menaik taraf stadium tersebut ketika masih menjadi menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata, naik taraf itu tidak sempat dilakukan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan beliau tidak lagi menjadi Menteri KBS.

"Dah dua tahun saya tak jadi Menteri KBS tetapi tetap dipersalahkan. Apabila saya umumkan naik taraf pada bulan Februari, selepas itu kerajaan bertukar, menteri bertukar," katanya dalam satu video di laman Twitternya pada Selasa.

Syed Saddiq menjadi mangsa serangan netizen yang mempersoalkan mengenai peruntukan RM10 juta yang diumumkan Syed Saddiq pada Februari 2020 untuk menaik taraf stadium utama negara itu.

Dalam perlawanan yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Bahrain, Stadium Nasional Bukit Jalil ditakungi air menyebabkan ia kelihatan seperti bendang atau sawah padi sekali gus mengundang bahan ketawa dan menjadi tular di media sosial.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan keuntungan Perbadanan Stadium Malaysia naik 400 peratus apabila beliau secara tegas mengamalkan sistem tender terbuka ketika berada di KBS.

"Apabila saya di KBS, kita buat open tender. Kita pilih yang terbaik bukan kroni, beramanah dan berintegriti.

"Buat pertama kali dalam sejarah perbadanan stadium keuntungan naik 400 peratus apabila kita ada pengurusan yang baik dan mengamalkan sistem open tender.

"Masalah di Malaysia ini kita suka bina projek berbilion ringgit dan bagi dekat kroni, projek 'direct nego' tetapi tidak ada budaya penyelenggaraan. Tengok stadium di Terengganu yang roboh, tengok Keretapi Tanah Melayu (KTM) tak habis-habis rosak.

"Daripada tuding jari sahaja, mari bersama bina budaya penyelenggaraan yang baik di Malaysia," katanya.