Klinik swasta jual produk tidak berdaftar diserbu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah klinik swasta di Negeri Sembilan dikesan menjual produk tidak berdaftar dipercayai untuk dibekalkan kepada penagih-penagih dadah di negeri ini.

Kegiatan itu terbongkar dalam Ops Nilam yang dilakukan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri Sembilan dengan kerjasama CPF Kuala Lumpur dan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada 9 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, hasil operasi berkenaan berjaya merampas sebanyak 17 keluaran produk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

"Selain itu turut dirampas tujuh jenis keluaran psikotropik yang berdaftar dan lima jenis peranti digital dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM64,273.

"Siasatan awal mendapati produk-produk tersebut telah dibawa masuk dari negara luar menggunakan laluan yang tidak sah dan dibekalkan kepada penagih-penagih dadah sekitar Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, sumber produk berkenaan tidak diketahui dan penggunaan produk tersebut adalah tidak diyakini keselamatannya serta boleh membahayakan kesihatan orang awam.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Selain itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 32(2) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta sama.

"Boleh juga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta sama," katanya.

Dr Harlina berkata, premis berdaftar dan berlesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajib membekalkan keluaran-keluaran yang berdaftar dengan PBKD kepada orang awam.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, CPFNS telah merampas sebanyak 66,814 keluaran yang menyalahi akta bernilai RM440,794.

"Sehingga bulan lalu, CPFNS telah mengambil tindakan ke atas 6,848 keluaran yang menyalahi akta bernilai RM93,218.

"Oleh itu orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan dan memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran sentiasa mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya.

Tambah beliau, pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk kesihatan.

Katanya, orang ramai juga boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400.