K-KOMM keluar arahan sekatan laman web jual data

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengeluarkan arahan sekatan kepada pembekal perkhidmatan Internet (ISP) bagi menghalang urusan jual beli data di sebuah laman web terbuka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan untuk menurunkan laman web tersebut telah dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang, hari sama selepas isu penjualan data dari laman web tersebut mula didedahkan menerusi laman Twitter pada pagi Ahad lepas.

"Semakan dan siasatan segera telah dilakukan oleh K-KOMM melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mengenai kandungan dan latar belakang laman web yang berkaitan, pada hari yang sama.

"Pada waktu sama, siasatan lanjut yang lebih mendalam sedang dijalankan secara bersepadu oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), JPDP, CSM, MCMC, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata, K-KOMM melalui JPDP dengan kerjasama MCMC dan CSM akan terus memantau dan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial agar sentiasa menepati prinsip-prinsip di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

"Keselamatan data peribadi milik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pula akan sentiasa dipastikan keselamatannya oleh agensi kerajaan yang berkaitan dan NACSA.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga dinasihatkan untuk mengaplikasikan tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709 sebagai garis panduan atau amalan terbaik supaya keselamatan data peribadi rakyat sentiasa terjaga,” katanya.

Annuar berkata, di bawah Seksyen 130 Akta 709, kesalahan berhubung penjualan data peribadi boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha membendung kes kebocoran, penyalahgunaan atau penjualan data peribadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. - Bernama