Jurucakap Rumah Putih sahkan Biden bertanding untuk penggal kedua

Joe Biden - Foto fail AFP
Joe Biden - Foto fail AFP
A
A
A

MOSCOW - Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre mengesahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bakal bertanding semula pada 2024 sekali gus menafikan dakwaan usianya boleh menimbulkan masalah, lapor Sputnik.

"Apa yang boleh saya katakan ialah Presiden telah berulang kali mengatakan beliau merancang untuk bertanding pada 2024, ....Presiden berhasrat untuk meneruskan rancangannya,” Jean-Pierre memberitahu CNN.

Beliau memberi jaminan bahawa pentadbiran tidak menumpukan kepada isu umur dan keutamaan presiden adalah bekerja untuk kepentingan rakyat Amerika dan memperbaiki kehidupan mereka.

Kenyataan itu menjadi hangat selepas artikel New York Times memetik David Axelrod, bekas ketua strategi dalam pentadbiran Obama, yang menyatakan usia Biden 'akan menjadi isu utama' jika beliau bertanding untuk penggal kedua.

Sebelum ini, Pegawai Rumah Putih lain mengesahkan bidaan pemilihan semula Biden, termasuk bekas jurucakap Jen Psaki.

Pada Disember, Biden memberitahu ABC dalam satu temu bual bahawa beliau akan bertanding untuk pemilihan semula pada 2024 jika beliau kekal dalam keadaan sihat.

Biden berkata, tidak mustahil penyertaan bekas Presiden Trump akan menambah lagi kemungkinan pencalonannya. - Bernama