X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Birmingham 2022: Malaysia sasar kekalkan tujuh emas

Mohamad Norza
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) yakin kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini mampu menyamai pencapaian tujuh pingat emas yang diraih pada edisi lepas di Gold Coast, Australia.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sasaran itu dijangka dicapai melalui acara badminton yang diharap menyumbangkan dua emas manakala masing-masing sebutir emas menerusi gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilihan yang bermesyuarat pada Selasa setakat ini telah menyenaraikan 95 atlet daripada 12 jenis sukan manakala 11 lagi masih di bawah pertimbangan membabitkan atlet muda yang mempunyai potensi.

Jelasnya, 95 atlet itu terdiri daripada empat atlet olahraga, badminton (10), berbasikal (6), terjun (11), gimnastik dan gimrama (5), boling padang (10), ragbi (13), renang (2), ping pong (8), skuasy (10), angkat berat (7) dan sukan para (9).

“Kita juga telah sebulat suara memilih (juara powerlifting Sukan Paralimpik Tokyo 2020) Bonnie Bunyau Gustin dan (pemain skuasy wanita nombor satu negara) S Sivasangari selaku pembawa Jalur Gemilang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma OCM pada Selasa.

Pada edisi lalu di Gold Coast, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas meraih tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa manakala pencapaian emas terbanyak adalah pada edisi New Delhi 2010, apabila membawa pulang 12 emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza yakin sasaran tersebut mampu dicapai walaupun saiz kontinjen kali ini berkurangan berbanding purata 180 atlet sejak kebelakangan ini.

“Antara faktor yang mempengaruhi pengurangan jumlah atlet kali ini adalah kerana tiada sukan menembak yang secara puratanya membabitkan 18 atlet, kita juga tidak menyertai acara hoki lelaki dan wanita melibatkan 36 atlet. Dua sukan ini sahaja kita telah kekurangan lebih kurang 54 atlet.

“Sebelas atlet yang masih di bawah pertimbangan antaranya daripada sukan akuatik, tinju dan judo yang tak layak dalam Kategori A atau B tetapi mempunyai potensi berdasarkan pencapaian Sukan SEA baru-baru ini. Jadi, kami melihat lebih 100, kira-kira 101 atau 102 atlet kali ini,” jelasnya.

Bagi Birmingham 2022, seramai 37 atlet telah layak secara merit menerusi kejohanan kelayakan membabitkan sukan ragbi, ping pong, angkat berat dan sukan para.

Baki 58 yang dipilih untuk memenuhi kuota 94 tempat yang diberikan kepada Malaysia kali ini, 47 atlet (25 lelaki, 22 wanita) berada di bawah Kategori A (kos ditanggung sepenuhnya), manakala 11 (4 lelaki, 7 wanita) dalam Kategori B (perbelanjaan dibayar jika menang pingat).

Selain hoki, Malaysia juga tiada wakil dalam sukan gusti, bola keranjang, bola tampar pantai, kriket dan bola jaring. Kesemua persatuan sukan dikehendaki menghantar senarai pendek nama atlet sebelum 29 Jun ini. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!