'Belum hilang penat bersih rumah, air naik lagi'

Zaini membersihkan rumahnya yang dilanda banjir kilat.
Zaini membersihkan rumahnya yang dilanda banjir kilat.
A
A
A

SEREMBAN - Belum pun hilang penat mengemas rumah susulan banjir bulan lalu, penduduk di Taman Semarak di sini sekali lagi berdepan ujian sama pada Isnin.

Keadaan itu membuatkan mereka fobia setiap kali hujan lebat dan berharap ada tindakan penyelesaian dilakukan pihak berwajib bagi memastikan masalah sama tidak berulang lagi.

Aini Amat, 63, berkata, beliau reda menerima ujian itu, namun tidak kuat apabila diuji bertimpa-timpa lebih-lebih lagi dengan keadaan kehidupannya yang serba kekurangan.

"November tahun lalu banjir sehingga paras leher dan ketika itu semua perkakasan rumah saya tidak dapat diselamatkan.

"Kali kedua pula bulan lalu dan waktu itu banjir setinggi satu meter dan semalam (Isnin) setinggi 0.7 meter. Saya rasa sudah tak tertanggung lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Isnin.

Apa yang menyedihkan Aini kerana kerosakan rumahnya akibat banjir bulan lalu baharu sahaja dibaik pulih, namun kini ia rosak semula.

Katanya, kesemua perkakasan rumahnya yang ada sekarang adalah hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati dengan ujian menimpanya.

"Tilam, bantal dan almari yang orang bagi semuanya sudah rosak. Saya jadi tertekan fikir berapa kali lagi hendak kena berdepan banjir ini.

"Saya pula bukannya orang senang. Sekarang ini kalau hujan saja saya jadi tak tenang dan fobia," katanya.

Aini berkata, beliau berharap pihak kerajaan negeri dapat mengambil tindakan mendalamkan sungai berhampiran kampung itu bagi mengelakkan isu banjir berulang lagi.

Begitu juga dengan Zaini Yahya, 68, yang mengharapkan tindakan penyelesaian daripada kerajaan negeri dalam menangani isu banjir di kawasan itu.

Menurutnya, beliau sudah tidak sanggup berdepan masalah sama berulang kali lebih-lebih lagi dengan keadaannya tinggal seorang diri.

"Perkakasan di rumah saya banyak yang dibuang kerana rosak. Sedih saya bila mengenangkannya.

"Sekarang ini bila hujan saja saya jadi cemas dan sedih kerana risau banjir akan berulang kerana tiga anak saya tinggal di luar Negeri Sembilan," katanya.

Tambahnya, dengan keadaan cuaca tidak menentu sekarang, bila-bila masa boleh berlaku banjir.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Lateeffah Ali yang turun padang dengan Skuad Sayang Wanita UMNO Seremban berkata, pihak berwajib perlu mengambil langkah mendalamkan atau melebarkan Sungai Linggi berhampiran kampung berkenaan.

Lateeffah (kiri) membantu Aini memilih pinggang mangkuk yang masih boleh digunakan.
Lateeffah (kiri) membantu Aini memilih pinggang mangkuk yang masih boleh digunakan.

Menurutnya, jika hujan lebat lebih satu jam, air sungai itu akan melimpah dan menyebabkan banjir kilat.

"Dulu kejadian banjir macam ini tak pernah berlaku, jadi pandangan saya pihak berwajib perlu menyelenggara sungai itu secara berkala.

"Saya juga difahamkan kepimpinan setempat di kawasan kampung ini telahpun memohon untuk memasang siren amaran banjir selepas kejadian banjir besar November lalu, tapi sampai sekarang kita tidak nampak apa-apa siren dipasang," katanya.