Dua pusat K9 dirancang dibina di Perak

Mior Faridalathrash (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Tony Matius Farang pada Perhimpunan Ketua Polis Perak Jun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.
Mior Faridalathrash (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Tony Matius Farang pada Perhimpunan Ketua Polis Perak Jun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Dua pusat Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dirancang akan dibina di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pusat yang bakal dibina di daerah Manjung dan Hulu Perak itu bagi memperkasakan lagi tugasan dalam pencegahan jenayah.

"Saya difahamkan JSJ Bukit Aman merancang untuk bina pusat untuk K9. Kedua-dua tempat itu strategik memandangkan Manjung merupakan pusat pelancongan dan unit ini akan bertindak segera sekiranya ada kejadian.

"Pengkalan Hulu pula di sempadan negara maka unit ini boleh beri perkhidmatan di negeri sempadan dan daerah berdekatan," katanya pemberita pada Perhimpunan Ketua Polis Perak Jun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Selasa.

Menurutnya, K9 Perak mempunyai empat aset berkaki empat yang dilatih khas dalam pencegahan jenayah, narkotik dan bahan letupan.

Wei Hong (kanan) dan Tony Matius Farang mengendalikan aset berkaki empat milik PDRM, Rocky dan Chulio.
Wei Hong (kanan) dan Tony Matius Farang mengendalikan aset berkaki empat milik PDRM, Rocky dan Chulio.

Pada majlis itu, dua anjing pengesan dari Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak antara 66 penerima pingat dan surat penghargaan pada Perhimpunan Bulanan IPK Perak.

Anjing jenis German Shepherd dikenali sebagai Chulio dan Rocky itu menerima penghargaan di atas kejayaan mengesan orang hilang masing-masing bagi kes di Tronoh, Batu Gajah pada Mei lalu dan Ulu Geruntum, Gopeng, Januari lalu.

Pingat Jasamu Dikenang itu dikalungkan kepada kedua-dua anjing berkenaan oleh Mior Faridalathrash.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Seksyen K9, Sarjan V Gunalan dan pengendali Lans Koperal Tan Wei Hong (Rocky) dan Koperal Tony Matius Farang (Chulio).