Australia sambar slot Piala Dunia Qatar 2022

Redmayne meraikan kejayaan Australia mara ke Qatar 2022 bersama pemain Socceroos lain. - Foto Getty Image
Redmayne meraikan kejayaan Australia mara ke Qatar 2022 bersama pemain Socceroos lain. - Foto Getty Image
A
A
A

SENSASI Asia, Australia mengesahkan penampilan kelima di pentas pusingan akhir Piala Dunia selepas menjinakkan Peru5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan playoff antara benua di Stadium Ahmad bin Ali, Doha.

Perlawanan yang menemukan pasukan kelayakan Asia dan Amerika Selatan itu, menyaksikan kedua-dua jagoan bola sepak tersebut buntu memecahkan tembok pertahanan lawan masing-masing dalam 120 minit menyaksikan penentuan slot ke Piala Dunia Qatar 2022 terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol gantian Australia, Andrew Redmayne yang dibawa masuk mengantikan Mathew Ryan tiga minit sebelum perlawanan tamat untuk sepakan penalti tersebut muncul wira Socceroos apabila mengagalkan sepakan keenam pemain Peru, Alex Valera untuk kemenangan 5-4 berkenaan.

Ternyata tindakan Redmayne berusia 33 tahun menari di garisan gol sepanjang tempoh penentuan sepakan berintensiti tinggi tersebut berjaya mengelirukan para pemain Peru berkenaan.

"Sejujurnya saya agak hilang kata-kata. Namun bola sepak merupakan permainan berpasukan, usaha berpasukan jadi saya tidak boleh mengambil pujian lebih daripada mana-mana 27 pemain lain yang berada di Doha.

“Idea menari ini tercetus sebelum penentuan sepakan penalti, kerana beranggapan mungkin berlaku situasi seperti ini. Dan selama dua atau tiga minggu berada di sini di Qatar, saya sudah terfikir begitu dalam fikiran saya dan telah mengusahakan beberapa teknik baharu dalam latihan.

“Sebenarnya saya bukan hero, sebaliknya hanya memainkan peranan seperti dilakukan semua pemain lain yang diberikan tanggungjawab demi mengharumkan nama Australia malam ini,” kata Redmayne.

Sementara itu, pengendali Socceroos, Graham Arnold mengakui Redmayne merupakan antara penyelamat sepakan penalti terbaik dimiliki Australia.

Malah jelasnya, tindakan memasukan Redmayne tiga minit pada masa kecederaan telah menjejaskan tumpuan dalam kalangan pemain di padang dan yang mengambil sepakan penalti

"Saya percaya dalam kalangan para pemain Peru tentu sahaja tertanya-tanya: "Mengapa pemain ini dibawa, pastinya dia merupakan yang baik dimiliki pasukan Australia," ujarnya.

Di Qatar 2022, Australia diundi satu kumpulan D bersama juara dunia Perancis, Denmark dan Tunisia, akan menyingkap kempen berdepan Les Blues kendalian Didier Deschamps pada 22 November ini.