Remaja dirogol bapa kandung sejak usia 12 tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TUMPAT - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai dirogol oleh bapa kandungnya sejak berusia 12 tahun, di sini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner, Amran Dollah berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis dan memberitahu kejadian terbaru dipercayai berlaku pada jam 12 tengah hari, Khamis lalu.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerima laporan berhubung satu kejadian sumbang mahram tersebut pada jam 11 pagi, Ahad lalu.

“Pada jam 12 tengah hari, Khamis lalu, semasa mangsa berada di dalam biliknya, tiba-tiba datang ayah kandung yang berusia 57 tahun memaksa mangsa melakukan hubungan seks.

“Mangsa menceritakan dirogol oleh ayah kandungnya sejak berusia 12 tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Isnin.

Ujarnya, mangsa merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu dan telah dibawa ke hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan koyakkan lama pada kemaluan mangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada jam 3 petang, Ahad, pihak polis berjaya menangkap lelaki terbabit berkait kes pukul mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan di kawasan Jalan Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu, di sini.

“Lelaki tersebut adalah penganggur yang mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal dadah ke atasnya bagaimanapun didapati negatif.

“Dia dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan reman mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan ditahan reman selama tiga hari bermula Isnin sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, bagaimanapun, lelaki berkenaan ditangkap semula bagi membantu siasatan kes sumbang mahram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebat jika sabit kesalahan,” katanya.