Sila log masuk terlebih dahulu.

Pembantu tadbir hadapi 32 pertuduhan tuntutan palsu

Mazuin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung kes tuntutan palsu rawatan kesuburan dari 2014 hingga 2017.
Mazuin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung kes tuntutan palsu rawatan kesuburan dari 2014 hingga 2017.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu tadbir Jabatan Pertanian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membabitkan tuntutan palsu rawatan kesuburan sewaktu bertugas di dua jabatan kerajaan di negeri ini dari 2014 hingga 2017.

Bagaimanapun, tertuduh Mazuin Zulkifli, 33, mengaku tidak bersalah selepas memahami kesemua 32 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Berdasarkan pertuduhan, Mazuin didakwa memalsukan 32 tuntutan pembiayaan perubatan kesuburan di Pusat Kesuburan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berjumlah RM209,233.

Dia mengemukakan Borang Perubatan I/09 beserta resit berkaitan rawatan kesuburan kepada dua jabatan itu dengan niat mengelirukan prinsipalnya terhadap tuntutan palsu tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bermula 10 Oktober 2014 hingga 10 Oktober 2017 di Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang.

Mazuin didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai kesalahan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry meminta mahkamah memberi jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

"Mohon mahkamah mengenakan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Pahang, Indera Mahkota setiap awal bulan sehingga perbicaraan kes selesai," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan mengekalkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 29 April ini bagi sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen kes dihadapi tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.