PKR kemuka empat cadangan atasi penipuan kewangan digital

Chean Chung (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar selepas menyerahkan surat cadangan kepada BNM.
Chean Chung (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar selepas menyerahkan surat cadangan kepada BNM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan empat perkara kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengatasi masalah penipuan kewangan digital.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, empat cadangan tersebut dilihat dapat memberikan input tambahan kepada BNM untuk mengukuhkan usaha membanteras penipuan tersebut.

"Cadangan pertama ialah mewajibkan bank-bank komersil (termasuk bank digital dan e-wallet) untuk menubuhkan unit bantuan penipuan kewangan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ketat ke atas pengendalian aduan pelanggan, tempoh respon serta bantuan sepanjang siasatan.

"Kedua, selaras dengan kenyataan 'fair redress for customers who have taken necessary steps to protect themselves and have not acted fraudulently' daripada pihak BNM, kami menggesa satu mekanisme untuk memudahcara dan tempoh pampasan supaya bank komersil juga mengambil tanggungjawab yang sepadan dengan pulangan mereka.

"Selain itu, BNM perlu mengambil inisiatif untuk menaiktaraf mesyuarat penyelarasan dengan pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Kewangan serta agensi-agensi lain kepada pasukan khas supaya isu-isu ini dapat ditangani secara holistik.

"Keempat, memulakan perbincangan dengan peguam negara untuk menyemak semula kesesuaian akta-akta mengikut keperluan semasa supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan lebih cekap, dan pengguna dapat dilindungi secara lebih menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat cadangan tersebut kepada Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus di bangunan BNM pada Isnin.

Surat cadangan tersebut telah diserahkan oleh Chean Chung serta beberapa kepimpinan PKR dan diterima oleh bahagian Komunikasi Korporat BNM.

Menurutnya, kerjasama dan tindakan pantas amat diharapkan memandangkan isu penipuan kewangan digital ini semakin parah dan memberikan kesan besar kepada rakyat.

Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap institusi kewangan juga akan terjejas jika tiada tindakan drastik dan pantas diambil oleh BNM.

"Kami berpandangan bahawa seruan sahaja tidak cukup, ia perlu disusuli dengan tindakan yang pantas dan cekap supaya keyakinan rakyat terhadap sistem perbankan dapat dipulihkan.

"Kami harap agar Malaysia dapat mengikuti langkah negara lain yang semakin berani membanteras usaha ini dan membawa penipu ke muka pengadilan," katanya.