Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada Janusha

B Janusha (tengah) menjadi pegawai wanita pertama negara yang berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat. - Foto Facebook Istana Negara
B Janusha (tengah) menjadi pegawai wanita pertama negara yang berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Pegawai Kadet Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), B Janusha kerana menjadi pegawai wanita pertama negara yang berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat (USNA).

Turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Janusha atas kejayaan itu adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah menzahirkan rasa sukacita serta bangga di atas kejayaan Janusha, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang itu menjadi suntikan semangat kepadanya dan warga TLDM untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan di masa hadapan dalam bidang ketenteraan.

"Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Janusha dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan. Syabas dan tahniah," menurut catatan itu hari ini.

Janusha, 23, yang merupakan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang mencipta sejarah apabila menjadi wanita Malaysia pertama diterima masuk ke USNA dalam sejarah kemasukan pelajar negara ini ke akademi tentera berprestij Amerika Syarikat (AS) itu sejak 1971.

Beliau mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada 2018 selama empat tahun bersama 1,085 pelatih dari AS dan 14 pelatih dari luar negara itu.

Kejayaan Janusha menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di salah sebuah pusat latihan tentera terbaik di dunia itu membuktikan kewibawaan dan kemampuan wanita muda Malaysia untuk bersama-sama bersaing dalam bidang yang lebih dipelopori oleh kaum lelaki.

Lebih bermakna, Majlis Tamat Pengajian yang penuh gemilang disempurnakan sendiri oleh Presiden AS, Joe Biden dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut AS bersama duta serta Penasihat Pertahanan daripada pelbagai negara. - Bernama