Patut tangguh 30 minit dulu

Keadaan padang becak di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum aksi antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu.
Keadaan padang becak di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum aksi antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu.
A
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) berpendirian perlawanan kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu sebaiknya ditangguhkan sekurang-kurangnya 30 minit bagi memberikan masa untuk sistem perparitan padang berfungsi dengan lebih baik.

Dalam satu kenyataan, PSM memaklumkan, cadangan supaya perlawanan itu ditangguhkan pada jam 9.30 malam itu telah diutarakan kepada pihak terlibat, namun perlawanan tersebut tetap diteruskan seperti waktu sepak mula yang ditetapkan iaitu 9 malam.

"PSM ingin menegaskan penangguhan itu amat perlu selepas menyaksikan hujan lebat tanpa henti lebih dua jam di kawasan sekitar Bukit Jalil.

"PSM ingin juga menjelaskan tindakan penyodok sampah adalah tidak wajar dan secara tidak langsung mengakibatkan padang tersebut rosak," jelas PSM pada Ahad.

Beberapa petugas sedang menolak air yang bertakung menggunakan penyodok sampah di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.
Beberapa petugas sedang menolak air yang bertakung menggunakan penyodok sampah di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Sebelum ini tular di media sosial keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil ditakungi air selepas hujan lebat selama dua jam pada petang Sabtu.

Keadaan itu menyaksikan petugas stadium terpaksa menolak air yang bertakung menggunakan penyodok dan kad putih bagi memastikan permukaan padang dapat digunakan bagi aksi perlawanan tersebut.

Pada masa sama PSM sekali lagi menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan baki perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.

"PSM bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memulakan proses penukaran padang stadium yang dijadualkan bermula suku pertama tahun hadapan serta lain-lain penambahbaikan Stadium Nasional Bukit Jalil sejurus selepas komitmen acara-acara lain yang telah ditempah oleh penganjur pada tahun ini," ujar kenyataan itu lagi.