Harimau Malaya kalah kepada Bahrain

Sumareh meraikan jaringan pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 ketika menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama
Sumareh meraikan jaringan pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 ketika menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama
A
A
A

HARAPAN Harimau Malaya untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada aksi kedua kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain tidak kesampaian apabila tewas 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada perlawanan itu pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon membuat beberapa perubahan kesebelasan utama berbanding ketika bertemu Turkmenistan sebelum ini apabila mengekalkan penyerang Petaling Jaya City, Darren Lok sambil dibantu dua pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid.

Harimau Malaya bermula garang apabila melakukan beberapa serangan awal ke kubu lawan dengan peluang terbaik hadir pada minit kelima melalui rembatanJunior Eldstal namun rembatan pemain pertahanan itu berjaya diselamatkan penjaga gol Bahrain, Sayed Mohammed Abbas.

Malaysia sekali hampir membolosi gawang Bahrain pada minit ke-31 melalui rembatan Akhyar bagaimanapun Sayed Mohammed bertindak cemerlang menafikan hajat skuad Harimau Malaya sekali gus menyaksikan tiada sebarang gol dijaringkan pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, anak buah Pan-gon yang menggandakan serangan berjaya membuka jaringan menerusi Sumareh yang menyudahkan hantaran lintang Corbin-Ong pada minit ke-54', untuk kedudukan 1-0, begitupun keceriaan penyokong Harimau Malaya hanya bertahan dua minit apabila Ali Abdula Haram menyamakan kedudukan selepas itu.

Tersentak dengan gol itu, Pan-gon melakukan pertukaran dengan memasukkan beberapa pemain antaranya pemain lincah, Arif Aiman Hanapi, Guilherme De Paula dan Safiq Rahim bagi memperkuatkan lagi barisan serangan.

Harimau Malaya sekali lagi berpeluang merobek gawang lawan pada minit ke-74, namun hantaran lintang Arif Aiman ke dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan barisan penyerang negara.

Ketika permainan memasuki minit ke-80, kesilapan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias yang menerjah pemain lawan mengundang padah apabila Bahrain dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Abdulla Yusuf Helal untuk gol kemenangan pasukannya.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga kedua kumpulan E dengan mengumpul tiga dan akan bertemu Bangladesh pada aksi akhir pada Selasa.