Kebakaran kali kedua Pasar Datuk Keramat tiada unsur khianat

Kesan kemusnahan premis di Pasar Keramat, Kuala Lumpur selepas kejadian kebakaran pada Sabtu.
Kesan kemusnahan premis di Pasar Keramat, Kuala Lumpur selepas kejadian kebakaran pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada unsur perbuatan khianat yang mengaitkan punca kebakaran di Pasar Datuk Keramat, di sini, pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pemeriksaan telah dijalankan pihak forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba di lokasi kejadian.

"Siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur-unsur yang dikesan ke arah perbuatan khianat.

"Tiada bahan bakar dikesan yang menjurus kepada perbuatan terbabit. Kita akan jalankan pemeriksaan lanjut berkenaan bekalan dan penyambungan pendawaian elektrik di lokasi berkenaan," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihak bomba masih menunggu laporan penuh bagi menentukan punca sebenar kejadian kebakaran itu.

Pada Sabtu, Pasar Datuk Keramat, terbakar sekali lagi dalam kejadian awal pagi selepas insiden sama pada Mac tahun lepas.

Ketua Komander Operasi Mohd Fahmi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.30 pagi tadi sebelum 47 anggota dari Balai Bomba Polis (BBP) Keramat, BBP Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak bersama lima jentera ‘Fire Rescue Tender (FRT)’ dikejarkan ke lokasi.

Kebakaran melibatkan lot kedai dengan anggaran kemusnahan 50 peratus disebabkan bahan binaan terdiri daripada kayu serta sebahagian rumah berhampiran dianggar mengalami kemusnahan 10 peratus.