Contohi Kedah mudahkan urusan kemasukan pelabur: KSN

Mohd Zuki (tiga dari kiri) selepas menyampaikan anugerah kepada Ammar (dua dari kiri) yang dinobatkan sebagai Regulatory Champion atas kepimpinanan memacu inisiatif peringkat negeri dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dr Nadzman Mustaffa (tiga dari kanan) sebagai Tokoh Amalan Baik Peraturan.
Mohd Zuki (tiga dari kiri) selepas menyampaikan anugerah kepada Ammar (dua dari kiri) yang dinobatkan sebagai Regulatory Champion atas kepimpinanan memacu inisiatif peringkat negeri dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dr Nadzman Mustaffa (tiga dari kanan) sebagai Tokoh Amalan Baik Peraturan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kejayaan Kedah menambah baik dan memudahkan urusan untuk menjalankan aktiviti perniagaan sehingga berjaya menarik kemasukan pelabur perlu dijadikan contoh dan penanda aras bagi negeri lain.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, perkara itu penting bagi menggerakkan kembali sektor perniagaan dalam memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, sehubungan itu semua kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjadi pemudah cara dan tidak terlalu bergantung kepada peraturan lama yang menyulitkan pelabur.

“Sekiranya kita masih lagi menggunakan kaedah lama, peraturan yang ketinggalan hanya akan menyulitkan pelabur untuk datang.

“Kita sering dapat aduan daripada pelabur dan peniaga berhubung kelulusan dari segi permit, bagaimana proses untuk menggerakkan perniagaan terlalu panjang, jadi saya harap Kedah boleh dijadikan contoh oleh negeri lain.

“Ia memerlukan kepimpinan sebab ia membabitkan PBT,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan MyMudah 2022 peringkat negeri di sini pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Mahmood Naim dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Kedah merupakan negeri pertama dipilih oleh MPC untuk melaksanakan MyMudah, yang mana industri boleh berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa berkaitan dan bekerjasama menyelesaikan isu serta cabaran perniagaan tanpa perlu melalui kerenah birokrasi.

Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk memudahkan urus niaga menerusi MyMudah dan ia merupakan perkara yang amat kritikal.

“Kejayaan Kedah akan kita panjangkan supaya perkara ini boleh di aplikasi di negeri-negeri lain. Ia sebagai 'benchmark' dan amalan terbaik yang boleh kita laksanakan di negeri masing-masing. Semua PBT ada peraturan masing-masing namun peraturan itu kalau tidak dikaji semula akan menyulitkan keadaan,” ujarnya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Mohd Zuki berkata, pembaharuan peraturan bagi menambah baik persekitaran perniagaan antara penyumbang utama kemajuan Kedah.

“Antaranya, pelaksanaan E10 iaitu Permit Pembinaan Ekspres yang diterajui Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) kini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

"Tahniah kepada kerajaan negeri Kedah yang menjadi negeri pertama menubuhkan Unit MyMudah di peringkat PBT dan negeri. Tindakan proaktif ini telah membuahkan hasil apabila penambahbaikan ekosistem perniagaan berjaya meningkatkan profil Kedah sebagai destinasi pilihan pelaburan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif MyMudah secara meluas akan membantu industri dan perniagaan berkembang pesat dan mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam negeri yang berintegriti tinggi.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan Kedah sebagai negeri yang menerima pelaburan tertinggi dalam negara antara Januari hingga September 2021 dengan nilai keseluruhan RM57.1 bilion.

Kedudukan itu mengatasi Sarawak di kedudukan kedua dengan nilai pelaburan RM23.9 bilion, diikuti Kuala Lumpur RM22.5 bilion.