Pelajar Tingkatan Satu dicabul dua lelaki

No Image Caption
A
A
A

TUMPAT - Seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah dicabul dua lelaki dalam kejadian di sebuah chalet di Pantai Tujuh pada Jumaat lalu.

Kejadian disedari oleh ibu mangsa selepas pelajar yang berusia 13 tahun itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, sebelum kejadian itu, ibu mangsa memberi izin mangsa keluar makan bersama rakan perempuannya pada jam 9 malam.

Katanya, namun gadis itu tidak pulang sehingga jam 11 malam dan ketika berjaya dihubungi memberitahu berada di chalet tersebut.

“Wanita itu bersama keluarga bergegas ke lokasi dan mencari dari bilik ke bilik sehingga terdengar suara anaknya. Di hadapan bilik itu ada seorang lelaki yang mengaku mangsa berada di dalam bilik tersebut.

“Apabila pintu bilik dibuka didapati mangsa berada di dalam bilik bersama dua lelaki yang pengadu tidak kenali. Ketika ketiga-tiga suspek sedang disoal oleh pengadu, salah seorang suspek di dalam bilik bergelut dan berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Amran berkata, ketika ketiga-tiga suspek sedang disoal oleh pengadu, salah seorang suspek di dalam bilik bergelut dan berjaya melarikan diri sebelum wanita itu menghubungi polis dan dua lagi suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

“Hasil rakaman percakapan mendapati mangsa dipaksa masuk ke bilik dan ketiga-tiga suspek enggan menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Mangsa dikatakan diraba oleh kedua-dua suspek di dalam bilik, manakala suspek ketiga bertindak sebagai pendaftar bilik dan mengawal di luar bilik,” katanya

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk pemeriksaan.

“Kedua-dua suspek adalah penduduk tempatan yang berusia 20-an ditahan reman enam hari sehingga Khamis ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.