Sivasangari, Eain Yow hampiri kejuaraan kebangsaan

Sivasangari
Sivasangari
A
A
A

PEMAIN skuasy terkemuka negara S Sivasangari hanya tinggal selangkah untuk merampas kembali gelaran juara Divisyen Premier wanita Kejohanan Skuasy Kebangsaan selepas menewaskan Rachel Arnold 3-2 di separuh akhir pada Sabtu.

Aksi sengit separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil menyaksikan pemain ranking ke-19 dunia itu mengatasi Rachel 11-7, 6-11, 12-10, 8-11, 11-7 dalam pertarungan selama 37 minit.

Kemenangan itu sebagai membalas dendam bagi Sivasangari yang juga Juara 2018 setelah diketepikan Rachel pada edisi 2019 sekali gus meranapkan peluang bekas juara itu mempertahankan kejuaraannya.

Aksi final pada Ahad menyaksikan pemain berusia 23 tahun kelahiran Kedah itu akan bertemu Aifa Azman yang dengan mudah mengalahkan Chan Yiwen 11-7, 11-1, 11-3 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Sivasangari yang menjangkakan satu lagi perlawanan sengit pada Ahad berkata, beliau perlu konsisten semasa berhadapan Aifa.

"Saya tahu ia agak sukar hari ini kerana saya pernah berhadapan Rachel beberapa kali sebelum ini. Saya bermain dengan baik pada set pertama tetapi saya agak perlahan bila cuba untuk bermain secara taktikal dan tidak terlalu banyak bermain secara bolak-balik, sementara Rachel merupakan seorang pemain pintar.

"Tidak akan mengambil mudah final, cuba untuk dapatkan rehat malam ini, semoga dapat bermain dengan baik esok. Aifa seorang pemain agresif dan pintar sama seperti Rachel, jadi saya perlu konsisten dari mula hingga akhir,” kata Sivasangari yang terlepas gelaran juara 2020 selepas tewas kepada Low Wee Wern di final.

Sementara itu dalam Divisyen Premier lelaki, pemain nombor satu negara, Ng Eain Yow bersedia mencabar juara bertahan Ivan Yuen di final sebagaimana dijangka.

Ivan yang merupakan juara empat kali sejak 2017 itu menyingkirkan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 13-11, 11-3, 11-9 dalam masa 49 minit bagi membida gelaran juara buat kali kelima.

Eain Yow pula tidak menghadapi banyak masalah untuk mengetepikan Mohammad Syafiq Kamal 11-5, 11-6, 11-5 dengan harapan untuk mengakhiri kemarau kejuaraannya dalam kejohanan kebangsaan itu.

"Kejohanan ini merupakan kegemaran Ivan, saya rasa tekanan adalah pada beliau untuk mempertahankan kejuaraan, saya hanya perlu bermain skuasy terbaik saya, jika saya boleh berbuat demikian, gelaran juara akan menjadi milik saya. Saya sudah melakukan persiapan dengan baik, terutamanya bagi menghadapi Sukan Komanwel (pada Julai),” katanya.

Pencapaian terbaik Eain Yow pada edisi 2019 apabila beliau mara ke final sebelum tewas di tangan Ivan sementara edisi 2021 dibatalkan berikutan pandemik Covid-19. - Bernama