Dirogol dua lelaki, remaja 14 tahun mengandung

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang remaja berusia 14 tahun mengandung tiga bulan dipercayai dirogol dua lelaki dalam kejadian berasingan di rumahnya di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, remaja yang tinggal bersama datuk dan nenek itu dirogol kali pertama pada 19 Februari lalu.

"Dalam kejadian itu mangsa dirogol oleh suspek berusia 22 tahun di dalam bilik tidurnya.

"Kejadian kedua berlaku pada 28 Mac lalu di lokasi yang sama melibatkan lelaki berlainan berusia 17 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mangsa dipelihara oleh datuk dan neneknya sejak berusia setahun dan tidak bersekolah.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ke atas mangsa mengesahkan kandungan remaja tersebut berusia tiga bulan.

Beliau berkata, kedua-dua identiti suspek sudah dikenal pasti oleh polis.

"Buat masa ini proses menangkap kedua-dua suspek sedang dilakukan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.