Felda akan pastikan 270 sekolah ada Kelab Pengekodan, Robotik

Radzi (duduk berbaju biru) bersama Idris (duduk berbaju putih) mencuba permainan robotik yang dihasilkan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Lahad Datu pada Sabtu.
Radzi (duduk berbaju biru) bersama Idris (duduk berbaju putih) mencuba permainan robotik yang dihasilkan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Lahad Datu pada Sabtu.
A
A
A

LAHAD DATU - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan memastikan kesemua 270 buah sekolah kebangsaan dalam tanah rancangannya mempunyai Kelab Pengekodan dan Robotik.

Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, pihaknya menyasarkan semua sekolah itu mempunyai Kelab Pengekodan dan Robotik dalam masa lebih dua tahun.

“Insya-ALLAH dalam masa dua tahun setengah kita akan memastikan kesemua 270 buah sekolah kebangsaan kita akan mempunyai kelab ini,” katanya semasa berucap semasa Pelancaran Felda Digital Maker Hub (FDMH) - Coding dan Robotic.

Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Lahad Datu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Idris menjelaskan, kewujudan kelab seperti ini selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi menekankan kepada pentingnya IR4.0 atau Revolusi Industri Keempat.

Idris dalam ucapannya turut mendedahkan bahawa idea untuk mengadakan ‘coding’ ini bermula semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan II.

“Saya ingat tahun 2014 seorang felo perdana daripada Cambridge, Yen Peng Chan sekarang sudah menjadi guru memberitahu saya asas kepada IT (teknologi maklumat) adalah ‘coding’.

“Kita telah memberitahu Menteri Pendidikan waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan alhamdulillah saya diberitahu di sekolah ini juga (Sekolah Kebangsaan Sahabat 4) bermulanya,” ujarnya.

Idris Jusoh ketika berucap pada Majlis Pelancaran Felda Digital Maker Hub (FDMH) - Coding dan Robotic pada Sabtu.
Idris Jusoh ketika berucap pada Majlis Pelancaran Felda Digital Maker Hub (FDMH) - Coding dan Robotic pada Sabtu.

Sementara itu, Felda dalam kenyataan berasingan memberitahu, pelaksanaan inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM4.05 juta yang akan diperoleh melalui kaedah penajaan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu bagi menyemarakkan penglibatan komuniti dalam pendidikan generasi baharu Felda.

“Penajaan ini adalah bagi menyediakan kelengkapan asas robotik dengan kos RM15,000 bagi sebuah sekolah.

“Inisiatif ini akan menjadi sebahagian aktiviti kokurikulum yang akan dijalankan melalui kelab robotik sekolah dan mampu menjadi platform untuk meningkatkan kecemerlangan murid,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bertanggungjawab memastikan pelaksanaan aktiviti ini dapat dijalankan dengan baik.

“ Felda pula akan menyediakan latihan kepada guru-guru reka bentuk dan teknologi (RBT) setiap sekolah yang terlibat bagi memastikan penyampaian dan pelaksanaan aktiviti kepada murid-murid dapat dibuat secara berkesan.

“Felda sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif progresif bagi generasi baharunya termasuklah inisiatif Felda Digital Maker Hub ini. Felda juga yakin bahawa inisiatif ini akan menjadi instrumen bagi melonjakkan mobiliti sosial warga Felda bermula daripada pendidikan sekolah rendah,” ujarnya.