Semua hanya khabar angin...

Zinedine Zidane - Foto AFP
Zinedine Zidane - Foto AFP
A
A
A

ZINEDINE Zidane menafikan bersedia menggantikan Mauricio Pochettino sebagai pengendali, Paris St Germain (PSG) musim depan.

Penasihat Zidane, Alain Migliaccio berkata, "Semua khabar angin yang tersebar ini adalah tidak berasas. Sehingga hari ini, saya satu-satunya orang yang dibenarkan mewakili dan menasihati Zinedine Zidane.

"Baik Zinedine Zidane mahupun saya sendiri tidak dihubungi secara langsung oleh pemilik PSG," ujarnya.

Terdahulu stesen radio tempatan melaporkan bahawa Zidane akan mengendali kelab Ligue 1 Perancis tersebut tanpa memetik mana-mana sumber.

Sementara itu, PSG difahamkan masih belum bersedia mengulas perkara tersebut.

Untuk rekod, Pochettino, yang dilantik 18 bulan lalu gagal membantu PSG mencipta impak baharu dalam saingan Liga Juara-Juara selepas disingkirkan Real Madrid dalam pusingan 16 terbaik musim ini.

Bagaimanapun Les Parisiens terus mengekalkan penguasaan kejuaraan Ligue 1 pada April sekali gus memastikan satu-satunya trofi kempen pada kali ini.

Bekas pengendali Real Madrid berusia 49 tahun itu masih lagi belum mempunyai komitmen dengan sebarang kelab selepas meninggalkan gergasi La Liga tersebut pada penghujung musim 2020/21.