Limpahan air bercampur najis masuk rumah

Roslan menunjukkan kotoran berbau di celah lantai yang melekat akibat sisa kumbahan melimpah. (Gambar kecil: Muhammad Khairul)
Roslan menunjukkan kotoran berbau di celah lantai yang melekat akibat sisa kumbahan melimpah. (Gambar kecil: Muhammad Khairul)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 200 penduduk dari 50 buah rumah di Jalan Kenanga 6, Bandar Amanjaya di sini tidak tahan menanggung sengsara akibat limpahan air bercampur najis setiap kali hujan lebat.

Penduduk, Muhammad Khairul Hafizi Mohidin, 29, mendakwa, kejadian pada jam kira-kira 3 pagi Jumaat itu merupakan terburuk dan pernah berlaku pada 2020.

Dakwanya, limpahan air dipercayai berpunca dari dua sumber iaitu longkang besar sedalam lebih tiga meter di hadapan rumah yang mengalirkan air sungai dari penutup saluran kumbahan di rumah yang dipercayai tidak mampu menampung kapasiti apabila hujan lebat.

Sisa kumbahan melekat di longkang dan berbau busuk.
Sisa kumbahan melekat di longkang dan berbau busuk.

"Kejadian menyebabkan air sungai dan kumbahan bercampur melimpah masuk ke bilik tidur utama, ruang tengah dan dapur menyebabkan tilam, katil, karpet serta langsir turut terkena cecair berwarna hitam dan berbau busuk.

"Penduduk bukan sahaja alami kesulitan kerana perlu ambil masa untuk kerja-kerja mencuci malah terpaksa menyediakan cecair pembersih dan pewangi tambahan selain perlukan masa sekurang-kurangnya tiga hingga tujuh hari bagi mengeringkan dan menghilangkan bau perkakas rumah terjejas.

"Kita juga terpaksa mengasingkan barangan yang boleh digunakan semula atau buang sahaja yang telah rosak sebab tak tahan kotor dan bau busuk," dakwanya.

Muhammad Khairul Hafizi juga mendakwa ada kalanya, dia dan penduduk lain pernah menyatakan hasrat ingin berpindah gara-gara sering berdepan masalah terbabit.

Penduduk, Rashidi Ramli, 50, mendakwa, limpahan air sungai dari longkang besar hadapan rumah yang bercampur air kumbahan menyebabkan rumput hiasan, rosak dan mati.

Selain itu, Mohd Fauzi Karia, 56, mendakwa, penduduk terpaksa mencuci kawasan serta barangan dalam dan luar rumah berulang kali sehingga kesan kotor dan bau hilang.

Mohd Fauzi bersihkan karpet yang kotor terkena limpahan air bercampur sisa kumbahan.
Mohd Fauzi bersihkan karpet yang kotor terkena limpahan air bercampur sisa kumbahan.

"Selepas cuci dengan air, perlu mop, lepas tu gunakan pewangi, sekiranya masih ada kesan, ulang balik sehingga rasa yakin," jelasnya.

Dakwanya, aduan mengenai perkara itu telah dilakukan berulang kali, namun masalah limpahan air sungai dan kumbahan masih tetap berlaku.

Ketua Lorong, Roslan Budin, 55, berkata, penduduk berharap agar pihak bertanggungjawab ambil perhatian dengan masalah yang menghantui mereka.

Menurutnya, beberapa aduan dan perbincangan telah dilakukan bagi mengatasi masalah yang berlarutan lebih 10 tahun lalu, namun ia masih berulang.

"Setiap tahun isu yang sama berlaku, kalau air sungai melimpah, tak apa lagi, kami boleh cuci, tetapi air najis seperti ini, siapa yang tahan, lepas cuci tetap ada bau, kena cuci berulang lagi.

"Sebagai orang Islam, kebersihan adalah keutamaan khususnya dalam beribadat, setiap kali mahu sujud dalam solat, bau lantai busuk masih tidak hilang biarpun setelah beberapa hari.

"Ia bukan sahaja mengganggu ibadat malah menimbulkan rasa ragu-ragu tentang kesan kotoran yang masih melekat di perabot, lantai dan barangan lain biarpun setelah dibersihkan," katanya.

Justeru, penduduk menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah terbabit.