Zurainah dilantik pengerusi Finas

Annuar (kiri) menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi Finas kepada Zurainah di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat. - Foto: Bernama
Annuar (kiri) menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi Finas kepada Zurainah di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Senator Datuk Seri Zurainah Musa dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini sehingga 9 Jun 2024, umum Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, pelantikan Zurainah yang menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang telah tamat perkhidmatan pada 22 Mei lepas, selaras dengan Seksyen 4(1) Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013), bagi maksud melaksanakan fungsi-fungsi seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta tersebut.

"Saya yakin pelantikan Zurainah yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang boleh membawa nafas dan iltizam baharu, bagi membantu perkembangan industri perfileman dan kreatif di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain Ahli Dewan Negara, Zurainah juga merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Ahli Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad dan mengetuai Jabatan Hubungan Strategik Berjaya Corporation, serta menjadi pengarah kepada sejumlah anak syarikat Berjaya Assets Berhad.

Beliau juga merupakan pengarah di dalam Kumpulan UZMA dan turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ahli Lembaga Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan OKU (PRIMAS).

Annuar percaya pihak berkepentingan dalam industri perfileman dan kreatif juga, akan terus memberikan sokongan kepada pelbagai inisiatif dan usaha yang bakal diketengahkan oleh kerajaan melalui FINAS, yang bermatlamatkan untuk memberi manfaat serta kesejahteraan kepada Keluarga Malaysia di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Sementara itu, Annuar juga mengumumkan Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik sebagai Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), bagi menggantikan Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek yang mengakhiri perkhidmatannya, pada Khamis.

Annuar (kiri) menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi Interim MCMC kepada Mohamad Salim di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat. - Foto: Bernama
Annuar (kiri) menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi Interim MCMC kepada Mohamad Salim di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat. - Foto: Bernama

Annuar berkata, pelantikan yang berkuat kuasa pada Jumaat sehingga lantikan pengerusi baharu itu, adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Bahagian II, Seksyen 14 - Perjalanan sementara fungsi Pengerusi), di mana salah seorang Ahli Suruhanjaya boleh dilantik menjalankan tugas sebagai pengerusi apabila berlaku kekosongan jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut yakin pelantikan Mohamad Salim akan membawa kesegaran dan suntikan baharu bagi membantu perkembangan industri telekomunikasi di negara ini.

"Mohamad Salim merupakan Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan sekarang turut berkhidmat sebagai Anggota Suruhanjaya kepada SKMM. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB,” katanya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Gapurna Sdn Bhd itu juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam pelbagai industri, termasuk sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Giant Malaysia dan Pengerusi Bukan Eksekutif British American Tobacco (Malaysia) Berhad. - Bernama