Cuepacs gesa kerajaan laksana tiga langkah bantu penjawat awam

Adnan (depan, enam dari kanan) bersama para penjawat awam selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam di Kota Kinabalu pada Jumaat. - Foto Bernama
Adnan (depan, enam dari kanan) bersama para penjawat awam selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam di Kota Kinabalu pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menggesa kerajaan agar melaksanakan tiga langkah penting bagi membantu penjawat awam yang kini terkesan akibat kenaikan harga barang.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu ialah melaksanakan gaji minimum penjawat awam RM1,800, menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih berkesan.

"Kami tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan beberapa langkah utama tangani kenaikan harga barang, tetapi pada masa ini masih tidak mampu membantu kami menghadapi situasi itu dengan kedudukan kewangan dan gaji kami sekarang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam dihadiri kira-kira 600 orang di sini pada Jumaat.

Adnan berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,800 dalam sektor awam akan diikuti oleh sektor swasta yang seterusnya akan dilaksanakan secara menyeluruh dan lancar.

Katanya, gaji minimum itu juga akan memudahkan kerajaan mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Mengenai cadangan sistem saraan baharu, Adnan berkata, Sistem Saraan Malaysia (SSM) sedia ada telah berusia kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak berkesan dalam membantu penjawat awam dalam situasi masa kini.

"Diharap kerajaan menimbang cadangan kami untuk sebuah sistem saraan sektor awam yang baharu iaitu antaranya termasuk gaji minimum, peningkatan KGT, kenaikan pangkat dan gred, serta gred minimum 19 bagi memberi pendapatan lebih selesa dan adil untuk membantu penjawat awam,” katanya. - Bernama