1,245 kasut wanita, kanak-kanak tiruan dirampas

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan di sebuah premis yang disyaki menjual kasut tiruan di Ipoh. - Foto: KPDNHEP Perak
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan di sebuah premis yang disyaki menjual kasut tiruan di Ipoh. - Foto: KPDNHEP Perak
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 1,245 kasut wanita dan kanak-kanak disyaki tiruan bernilai RM87,979 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Khamis.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dilakukan selepas menerima aduan dan risikan daripada wakil pemilik cap dagangan.

Menurutnya, ketika serbuan seorang lelaki iaitu pemilik premis berusia 51 tahun dan seorang pekerja wanita berusia 38 tahun berada di tempat kejadian.

"Pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah kasut wanita dan kanak-kanak perempuan pelbagai corak, saiz dan warna jenama terkenal disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar ditemui di dalam premis tersebut.

"Pengecaman awal daripada wakil pengadu juga mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada barangan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Saifullizan berkata, kedua-dua individu yang merupakan warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Selain kasut, 800 unit plastik beg menggunakan label jenama terkenal disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar dan pelekat serta bersama beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.