1MDB pindah AS$110 juta, tiada masalah dikesan: Saksi

Najib. - Foto Bernama
Najib. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembantu Naib Presiden, Bahagian Operasi Pasaran Global Deustche Bank Malaysia (DBMB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa tiada sebarang masalah dikesan dalam transaksi pindahan AS$110 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada PetroSaudi International Ltd (PSI).

Saksi pendakwaan ke-22, Fatehah Md Salleh berkata demikian terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Fatehah berkata, pada 27 Mei 2011, beliau menjawat jawatan pegawai operasi kanan menerima dokumen arahan pembayaran pertukaran mata wang asing untuk 1MDB kepada akaun pihak ketiga.

"Arahan itu kepada JP Morgan Chase New York ke akaun RBS Coutts Bank Ltd untuk dikreditkan ke suatu akaun melalui surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

"Menerusi pemeriksaan melalui sistem penyelidikan pencegahan jenayah (PCR) dan ‘HotScan’, tiada halangan atau masalah untuk melakukan transaksi pemindahan wang dilaksanakan," katanya.

Menerusi prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa akaun itu adalah milik Good Star Ltd di RBS Coutts Bank Ltd di mana syarikat berkenaan dikatakan berada di bawah kawalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-21, Naib Presiden Bahagian Pasaran Global DBMB, Nur Hasnee Taha Mohd Nordin berkata, pada 30 September 2009 wang berjumlah RM3.487 bilion dipindahkan 1MDB kepada DBMB.

Menurutnya, ia dilakukan melalui lima transaksi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) melalui akaun Bank RHB.

"Wang itu dipindahkan oleh 1MDB bagi transaksi tukaran mata wang asing dengan membeli AS$1 bilion (RM3.487 bilion) di mana AS$700 juta kemudian dipindahkan ke RBS serta AS$300 juta didepositkan ke dalam akaun JP Morgan SA Geneva.

"Ia seperti yang diarahkan oleh 1MDB dan dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.