Taliban jemput pulang

Barisan pemimpin Taliban akan bekerjasama dengan pegawai tertinggi pentadbiran terdahulu untuk menubuhkan kerajaan inklusif. - Foto: AFP
Barisan pemimpin Taliban akan bekerjasama dengan pegawai tertinggi pentadbiran terdahulu untuk menubuhkan kerajaan inklusif. - Foto: AFP
A
A
A

KABUL - Bekas Menteri Pendidikan Afghanistan yang melarikan diri setelah pengambilalihan oleh Taliban pada Ogos tahun lalu akhirnya kembali semula ke tanah air pada Rabu.

Ghulam Farooq Wardak mengikut jejak langkah beberapa pegawai tinggi pentadbiran terdahulu untuk pulang semula ke Kabul setelah kepulangan bekas jurucakap Kementerian Pertahanan, Daulat Waziri dan bekas Ketua Syarikat Bekalan Kuasa Negara, Amanullah Ghalib beberapa hari lalu.

Timbalan jurucakap pentadbiran Taliban, Bilal Karimi berkata, sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan pada Mac lalu untuk berhubung dengan bekas pegawai kerajaan tentang usaha memanggil pulang warga Afghanistan di luar negara.

“Pihak berkuasa berharap kesemua rakyat kembali semula ke tanah air. Situasi sudah semakin pulih dan mereka boleh pulang tanpa sebarang isu.

"Individu berpengaruh dan mempunyai imej bersih boleh tinggal di Kabul dan menikmati semua hak di bawah pentadbiran baharu,” katanya.

Sementara itu, Ghulam yang bercakap kepada media selepas selamat mendarat di ibu kota memaklumkan ‘peratusan besar’ mereka yang meninggalkan Afghanistan akan kembali semula dan berkhidmat untuk negara.

“Saya berasa bangga dan gembira apabila berada di tanah air sendiri. Saya mahu tinggal dan mati di sini dan akan bersama rakyat negara ini," katanya.

Sebelum ini, Daulat yang tiba di Kabul pada Ahad memberitahu beliau berharap pemerintah Taliban akan membuka pintu kepada kesemua rakyat dan turut berterima kasih kepada Emiriah Islam Afghanistan kerana mengalu-alukan kepulangannya.

“Saya berbesar hati kerana dihubungi pemimpin Taliban yang mengharapkan kepulangan saya. Saya menentang peperangan dan berkhidmat untuk kesemua rejim pemerintahan.

“Saya berharap untuk keamanan, perpaduan dan bekerjasama untuk membina semula negara ini,” katanya.

Difahamkan, bekas pegawai pentadbiran terdahulu diberi tanggungjawab untuk menubuhkan kerajaan inklusif sebagai usaha meraih pengiktirafan antarabangsa setelah pemerintahan Taliban masih belum diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana negara.

Pada April lalu, ketua jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengumumkan rancangan untuk mengadakan loya jirga iaitu sebuah perhimpunan besar disertai pemimpin negara itu yang secara tradisinya menjadi forum untuk perbincangan dan mencapai konsensus tentang isu politik penting. - Agensi