Permulaan baik buat Scotland

Pemain Scotland meraikan kejayaan menewaskan Armenia.
Pemain Scotland meraikan kejayaan menewaskan Armenia.
A
A
A

KEMENANGAN 2-0 ke atas Armenia pada aksi Liga Negara-Negara UEFA pada Khamis, dilihat sebagai satu permulaan baik buat Scotland bagi mengharungi saingan Kumpulan E dalam Liga B.

Menurut pengendali Scotland, Steve Clarke momentum kemenangan berkenaan diharap berterusan selepas ini untuk skuad The Tartan Army itu melakar lebih banyak kejayaan.

“Saya gembira atas kemenangan ini dan saya juga gembira dengan pendekatan yang dilakukan pemain bagi mengharungi perlawanan.

“Mereka dilihat berjaya mengawal bola dengan baik, malah turut bijak menempatkan diri di posisi masing-masing bagi melancarkan permainan.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan bagi aksi sulung ini dan saya menantikan aksi seterusnya,” katanya.

Anthony Ralston membuka jaringan buat Scotland pada minit ke-28 dan sebelum rehat, Scott McKenna menjaringkan gol kedua yang juga menjadi gol kemenangan Scotland pada minit ke-40.

Sementara itu, Clarke mengakui kesemua pemain telah bekerja keras di sepanjang perlawanan bagi menghasilkan kemenangan berkenaan.

Katanya, corak bertahan yang diamalkan Armenia nyata menyukarkan jentera Scotland untuk mengatur asakan ke pintu golnya.

“Memang sukar berdepan dengan pasukan yang mengamalkan permainan bertahan seperti Armenia, namun kami masih berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 dengan Armenia,” katanya.