Maritim rampas 40 set bubu naga

Pasukan penguat kuasa menemui bubu naga tersebut di tiga lokasi berbeza ketika melaksanakan rondaan rutin.
Pasukan penguat kuasa menemui bubu naga tersebut di tiga lokasi berbeza ketika melaksanakan rondaan rutin.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 40 set bubu naga di tiga lokasi berbeza di Seberang Perai Selatan, antara jam 2.40 hingga 3 petang, Rabu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua bubu tersebut dirampas pada kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika barat perairan Pulau Burung.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa menemui bubu tersebut di tiga lokasi berbeza ketika melaksanakan rondaan rutin dengan menggunakan bot ronda KILAT 26.

"Ketika rondaan, anggota penguat kuasa telah menemui beberapa pelampung yang mencurigakan di tiga lokasi berbeza. Susulan daripada itu, kita membuat pemeriksaan dan berjaya menemui 40 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kesemua bubu naga yang dirampas bernilai anggaran RM4,800 dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas 40 set bubu di tiga lokasi di Pulau Burung.
Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas 40 set bubu di tiga lokasi di Pulau Burung.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan," katanya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus memantau aktiviti haram dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Katanya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.