Pembangkang ‘beli masa’ untuk bohongi rakyat sekali lagi

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pembangkang memberi pelbagai alasan untuk melengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi rakyat sekali lagi.

Ujar beliau, tindakan pembangkang yang marah apabila disarankan untuk mengadakan PRU15 itu telah mendedahkan kekhuatiran mereka iaitu mendepani penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa.

“Dulu pembangkang beri alasan Covid-19 oleh itu PRU15 tidak boleh diadakan, kini alasan inflasi pula. Alasan demi alasan pembangkang sebenarnya mendedahkan kekhuatiran sebenar mereka.

“Kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa. Mahu 'membeli masa' untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, PRU15 merupakan langkah paling demokratik untuk rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh.

Menurutnya, dengan adanya kerajaan yang stabil dan kukuh maka sudah pasti usaha-usaha untuk memberi bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

“Yang labelkan kerajaan campuran hari ini sebagai kerajaan cap ayam adalah pembangkang. Yang kuat mengambil kesempatan menghentam dasar kerajaan sejak kebelakangan ini pembangkang.

“Sehinggakan keputusan melarang eksport ayam bagi mencukupi keperluan rakyat turut dikecam. Tetapi apabila disaran PRU15 agar rakyat diberi mandat memilih sebuah kerajaan baharu pembangkang marah.

“Mereka membentak dan tuduh yang menyarankan PRU15 tidak peduli dengan nasib rakyat B40 pula,” ujarnya.

-