Bekerjasama pertingkat pendidikan digital asnaf, B40

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (dua, kiri) dan Pengarah Google Malaysia Marc Woo (kiri) menunjukkan Memorandum Persefahaman (MOU) antara MAIWP dan Google Cloud Malaysia di Menara Axiata, pada Rabu. - Foto Bernama
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (dua, kiri) dan Pengarah Google Malaysia Marc Woo (kiri) menunjukkan Memorandum Persefahaman (MOU) antara MAIWP dan Google Cloud Malaysia di Menara Axiata, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Google Cloud menjalin kerjasama dalam usaha mempertingkat perkhidmatan pendidikan digital dan analisis data bagi anak-anak golongan B40 serta Asnaf.

Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada Rabu bagi merealisasikan inisiatif ini di bawah Strategi Pelan Tindakan Digital MAIWP di Pejabat Google Malaysia di sini.

Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, MoU itu bertujuan melaksanakan Google Workspace for Education untuk memperkasa kakitangan dan pelajar di institusi pendidikannya dengan peralatan mudah serta fleksibel seperti Classroom, Assignment, Gmail, Calendar, Drive, Docs, Sheets, Slide serta Meet and Chat pada satu ruang kerja bersepadu bagi memudahkan kerjasama yang lancar.

Berbekalkan akses pengurusan bina-dalam, pengurusan peranti, perlindungan data dan keupayaan penyulitan data, Google Workspace for Education turut membantu institusi pendidikan mewujudkan persekitaran pembelajaran serta pengajaran yang selamat dan terjamin dari mana-mana lokasi serta pada mana-mana peranti.

"MAIWP menjadi Majlis Agama Islam pertama yang membuat satu transformasi digital untuk mempercepat proses dalam banyak perkara seperti pendidikan, keusahawanan, rakaman dan analisis data.

"Selepas ini adalah proses untuk menterjemah MoU ini kepada bentuk latihan untuk letak mereka dalam satu fasa pengetahuan yang mantap bagi mengembangkan teknologi Google kepada seluruh petak dan dimensi MAIWP.

"Teknologi itu akan dikembangkan kepada sekolah rendah dan menengah, tadika, universiti, masjid serta surau di mana interaksi bersama anak-anak Asnaf dapat disimpan serta dianalisis,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir pula berkata kerjasama itu adalah bagi memajukan usaha transformasi digitalnya serta meningkatkan pengalaman pembelajaran dan pengajaran.

"Sebagai sebuah Majlis Agama Islam terkemuka di negara ini, kami komited menggunakan teknologi lebih baharu seperti analitik maju bagi memastikan perkhidmatan kami untuk masyarakat terus memenuhi keperluan mereka selepas masa depan yang mengutamakan digital,” menurutnya dalam kenyataan itu. - Bernama